بسم الله . والصلاة والسلام على رسول الله وعلى
آله وصحبه أجمعين .
Sudah hampir
sebulan aku berada di Bumi Andalus, Morocco. Semenjak 30 Sept yang lalu, itulah
kali pertama menjejakkan kaki ke sini. Kehidupan ku sudah banyak berubah. Aku
bersyukur kerana Allah telah memilih aku menjadi Mahasiswa di Maghribi di
antara puluhan pelajar negeri Kelantan yang memohon. Tidak seperti Mesir dan
Jordan. Jumlah permintaan jauh lebih ramai dari negera ini.
Pada asalnya, aku
tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melanjutkan pengajian ke sini kerana
beberapa sebab yang aku fikirkan.
Pertama, kerana result SPM aku yang tidak
setinggi mahasiswa lain yang menghantar borang. Biarpun result SPM itu
mempunyai pelbagai tafsiran untuk aku dan orang lain. Namun, SPM itu menjadi
syarat utama untuk anda memohon pengajian di sini dek kerana Kementerian
Pengajian Morocco menganggap SPM itu sijil tertinggi untuk mereka yang
berkecimpung dalam bidang agama di Malaysia.
Kerajaan Morocco
juga telah menetapkan hanya 15 orang sahaja setiap tahun. Walaupun ada tahun
yang sebelum ini lebih daripada 15 orang. Dalam kalangan 15 orang yang
diumumkan oleh KPT Malaysia, namaku tidak wujud dalam senarai insan terpilih
itu. Dalam keadaan itu juga, do’aku hanya sanya kepada Allah sentiasa aku
panjatkan supaya mendapat tempat pengajian yang terbaik untuk aku.
Dalam jangka
tempoh itu juga. Aku telah membuat perancangan bersama beberapa orang sahabat
untuk memilih Yaman yang terkenal dengan Bumi Iman dan Hikmah sebagai destinasi
untuk menuntut ‘ilmu. Mereka terdiri dari senior dari Ma’ahad aku dulu.
Tanggal 18 Sept,
Rabu petang. Seusai bangkit dari rehat. Aku mendapatkan smartphone aku untuk
melihat apa-apa berita baru. Terdapat satu miscall dari nombor tidak kukenali.
Aku terlintas, ini nombor KL ni, bukan nombor telefon Kelantan kerana bermula
dengan 03. Jam menunjukkan hampir 7 petang. Fikirku, mungkin itu panggilan dari
sahabat yang tinggal di KL. Selang beberapa minit, nombor yang sama menelefon
untuk kali yang kedua. Tanpa ragu-ragu, dengan semangat yang ingin tahu
siapakah yang ingin bercakap dengan aku. Aku menekan button answer.
‘Assalamu’alaikum,
ni Ammar Yasir bin Mohd Bashir ke?’ suara perempuan yang tidak pernah ku dengari.
Maka bermulalah
perbualan kami. Di kala waktu petang itu juga ahli keluarga ku ada si rumah.
Ibuku kehairanan juga. Anaknya bercakap dengan siapakah? Sambil tersenyum dan
berjalan-jalan dalam rumah.
Perasaan gembira
itu tidak boleh aku sembunyikan. Apatah lagi terhadap ibu bapa. Lumrah hidup,
cukuplah gembira itu dengan rasa syukur terhadap pemberian Allah. Kadang-kadang
kegembiraan itu apabila disambut dengan ikut rasa. Maka, tunggulah natijahnya.
Aku menceritakan kepada kelurgaku yang aku mendapat
panggilan dari KPT sekejap tadi dan tawaran menyambung pelajaran ke sini. Insan
yang panggil gembira. Ayahku. Terserlah di raut wajah putihnya tanda gembira
dengan khabar tadi. Begitu ibu dan abang sulungku, Muaz.
Menurut kakitangan
KPT yang menelefon aku tadi, tarikh terakhir untuk sampai ke sana adalah 23
Sept. Alangkah terkejutnya aku, hanya 5 hari untuk aku menguruskan
segala-galanya. Rasa macam mustahil. Tapi, itulah ujian yang aku dapat. Namun,
pesanan yang aku terima selepas mendapat panggilan kedua dari pegawai KPT ialah
‘kena tunggu surat tawaran dari KPTM dulu, baru boleh buat urusan seterusnya’. Dalam
masa yang sama, aku cuba menghubungi senior lama yang belajar di Maghribi untuk
mendapatkan pandangan dan maklumat lanjut.
Ayah dan abang
sulungku duduk bersama untuk membincangkan langkah seterusnya. Perkara pertama
yang perlu aku lakukan ialah menelefon sahabat ku untuk membatalkan hasrat ke
Yaman dan duit yang telah di bank-in. Alhamdulillah, sahabatku, Muzzammil akan
menguruskan untuk duit itu. Nasib baik belum dibayar ke agen Travel.
Maka bermulalah
perjalanan kami sekeluarga ke KL untuk urusan-urusan yang berkait. Menggunakan
kereta Toyota Estima yang diberi pinjam oleh sahabat baik ayahku. Dari alam
universiti hubungan mereka terbina. Sungguh kukuh dan ampuh. Itulah hubungan
yang dasarnya kerana Allah. Beliau juga memberikan kunci rumah kedua beliau di
Bangi. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan ini.