Wazakkir

Sehari bersama beliau ...

Hadirnya aku untuk kali pertama di tempat itu. Walaupun persekitaran bukanlah seperti yang dijangkakan. Aku mengeluarkan handset dari kocek seluar aku, terus menelefon pengurus kepada program ini. Selang beberapa minit, insan itu keluar dari bangunan bersebelahan aku. Aku berjabat tangan sambil bertukar senyuman dan berkenalan bersama beliau. Selepas selesai urusan pendaftran, beliau mengajak aku untuk masuk ke bilik kerana program sudah bermula tanpa menunggu peserta lagi.

Aku melangkah ke dalam bilik untuk bersama-sama mereka mengikuti Bengkel Penulisan Islamik bersama Novelis terkenal itu. Dengan berbekal helaian kertas pen yang disediakan. Aku mula mencatat sesuatu.
Aku pandang ke kiri dan kanan. Seolah aku rasa, aku lah insan yang paling muda. Jauh dihadapan, sepasang suami isteri asyik mendengar ucapan novelis itu. Bermulanya perkenalan diri dari beliau, aku semakin semangat untuk mengetahui, apakah permulaan kepada semuanya dan telah membuat dirinya berjaya dan berdiri di hadapan itu. Sudah hampir jutaan bukunya diterbitkan. Mungkin hampir ratusan insan yang mendapat semangat dan hidayah dari tulisan beliau. Entah berapa orang sudah yang telah berubah kearah kebaikan kesan dari tulisannya. Aku juga merasainya selepas menbaca beberapa buah bukunya.

Aku membelek helaian yang diberikan pengurus program tadi untuk mencari lampiran tentang perjalanan program. Aku membaca satu persatu tajuk yang akan penulis itu kongsikan. Aku mula menginsafi diri apabila bab satu bermula dengan tajuk ‘Niat, Matlamat dan Disiplin’. Kesemua khayalan aku sebelum ini hancur seperti pecahnya cawan kaca yang jatuh dari pegangan bayi. Biarpun cawan itu dapat dicantum kembali. Pasti mustahil kesannya dihilangkan. Alangkah baiknya, beliau membuat aku terperanjat. Lemahnya kita, perlukan kepada nasihat dan bimbingan sentiasa. Mungkin juga orang lain turut terkena.  
Aspek pertama dihurai ialah NIAT. Inilah perkara yang aku lupa sebelum mempersiapkan diri ke bengkel ini. Huraian dan soalan silih berganti beliau utarakan kepada pendengar.

Tidak lain dan bukan apabila bercakap tentang Niat. Hadis inilah yang dijadikan rujukan paling utama dalam bengkel ini.  
‘Sesungguhnya setiap ‘amalan itu (tergantung) pada niatnya, dan (balasan) bagi setiapnya (tergantung) kepada apa yang diniatkan. Barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin dicapainya, atau kerana kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkan.’
 (Riwayat alBukhari, kitab Permulaan Wahyu, bab Permulaan wahyu)

Sehingga beberapa orang ‘ulamak memulakan penulisan kitab hadis dan lain dengan hadis ini seperti dalam kitab alShohih alBukhari, alArbain anNawawi, Misykat alMashobih, Shohih Muslim dan lain-lain yang menjadikan Hadis niat ini sebagai hadis permulaan di kitab mereka. Supaya manusia sentiasa mengingati tujuan hidup ini. Kerana semuanya dibuat untuk mencapai Redha Ilahi. Betapa besarnya makna kepada ucapan Nabi itu sehingga sarjana Islam menghuraikan begitu panjang dan terperinci maknanya.
Dengan hadis inilah, pendengar kembali membetulkan niat dan meminta ampun kepada Allah atas kesilapan yang telah lalu.

Biarpun beliau tanpa kopiah, namun syarahan hadis tadi jelas menunjukkan beliau faham akan apa maksud itu kerana pakaian bukan syarat untuk menyebarkan dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Bahkan, lebih baik dari para ustaz berjubah dan berserban yang  berceramah menyebarkan hadis-hadis palsu di dalam rumah Allah tanpa disedari oleh masyarakat dan diri sendiri.
Inilah satu pemikiran sesetengah masyarakat Malaysia yang perlu diperbaiki. Mereka selalu tertipu dengan tebalnya serban dan putihnya jubah  disebalik tipu daya iblis itu. Bukan bermaksud saya membenci serban dan jubah. Perkara itu sunnah. Jika niat mengikuti Nabi. insyaAllah pahala diberi.Namun, mestilah membawa selari dengan apa yang ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W .

Asyiknya aku mendengar perkongsian beliau, hampir lupa untuk mencatat sesuatu yang terlintas dan diucapkan oleh beliau. Tapi, apa yang masih tertulis di kertas itu, masih aku dapat membaca kembali. ‘kerana apakah aku ingin terjun ke bidang penulisan’ ?. sudah pasti, jika dijawab oleh pendengar, pelbagai jawapan dan pandangan yang dapat dihidam. Kerana itu hasil dari pemikiran mereka dari 'ilmu yang dipelajari.

Fokus utama, inilah yang perlu sentiasa di ingatan kita. Firman Allah dalam surah az-Zariyat, juzuk ke 27, muka surat 523, ayat ke 56. Maksudnya :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
               
Dan makna kepada beribadat kepadaKu ialah mengtauhidkan Allah. Dan perkara paling besar yang disuruh Allah ialah tauhid, inti kepada kehidupan kita sendiri, iaitu beribadat hanyasanya kepada Allah sahaja. Tanpa Tauhid. Hancurlah kehidupan ini. Terlerai segala usaha disana nanti. Terbatal segala amalan yang di lakukan. Firman Allah :

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Surah az-Zumar, juzuk 24, muka surat 465, ayat ke 65.

Dan perkara paling besar yang dilarang Allah ialah, syirik, ialah menyeru selain Allah dan bersama kesyirikan itu. Firman Allah juga, dalam surah an-Nisak, juz kelima, muka surat 84, ayat yang ke 36 :

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua .

Seekor Burung



Pemenjaraan bukanlah prinsipku, Dan bukanlah pada pemenjaraan itu kesukaanku

Maka aku tidak gemar sama sekali dengan sangkar, Walaupun sangkar itu diperbuat dari emas

Hutan-hutan milik Tuhanku itulah matlamatku, Dan kehidupan di situ adalah tuntutanku

Lazatnya pada hutan itu tempat makanku, Dan tulenya pada hutan itu tempat minumku

Aku akan pergi ke hutan untuk mengambil air, Air itu daripada mata air yang rasanya segar

Aku berkicauan dalam hutan itu dengan kebebasan, Maka pemenjaraan itu bukanlah prinsipku.

sya’ir bahasa ‘arab 'Seekor Burung' yang mashyur.


Sya'ir ini memberikan contoh dan motto kepada penuntut ‘ilmu supaya membaca kerana itu satu tuntutan dan keperluan. Bukan sekadar hobi sahaja.

Janganlah tertipu dengan kemewahan dunia. Keluarlah dari zon selesa itu kerana terdapat disana kelazatan dan kesenangan yang kekal abadi, yang tidak tersingkap oleh mata yang buta.

Terjunlah dalam khazanah ‘ilmu Islam untuk merasai keindahan agama itu. Kerana perkara ini tidak akan dapat melainkan dari sumber yan asli dan tulen.

Di sana, kamu akan meni’mati kebebasan yang tenang atas dasar keinginan dan balasan bersusah payah dahulu. Hikmah disebalik bermulanya dengan wahyu yang pertama Allah turunkan agar manusia MEMBACA kerana di situ ‘Ilmu dapat diperolehi.

Cerita seekor singa vs sekumpulan keldai

Cerita seekor singa vs sekumpulan keldai

Pada suatu malam, sekumpulan keldai telah bermesyuarat untuk ‘memanggil’ seekor singa. Raja kepada segala haiwan. Tujuannya ialah untuk membuat rundingan kes. Bayangkan seekor singa yang  mahsyur dengan kehebatannya membaham musuh telah dikepung sekumpulan keldai. Kadang-kadang sudah menjadi sunnatullah, makhluk jika berseorangan mesti takut dan kecut apabila berhadapan dengan jumlah yang ramai. Ditambah pula kedebaran singa yang masih di peringkat umur kanak-kanak dan muda dengan kehidupannya itu dengan umur keldai yang sudah tua dan berpengalaman yang luas dalam projek sebegini.

Setelah seketika, keldai itu telah memulakan pembicaraan dengan singa. Walaupun tidak ramai keldai yang bercakap. Keberanian mereka terserlah kerana jumlah mereka yang mustahil untuk seekor anak singa menyelematkan diri.

Selepas selesai sesi soal jawab, bermulalah agenda pergaduhan seekor singa dan geng keldai. Inilah sebenar tujuan geng keldai ini. Sungguh menyedihkan kerana singa yang masih mentah ini di’buli’ oleh keldai yang masih kurang matang. Apabila kes ini disiasat, ternyata tiada hubungan sangat pun keldai dengan singa itu. Tapi, keegoan keldai telah ditambah dengan hasutan ‘syaitan’ musuh sejati.
Biarpun sekumpulan keldai itu berdalil untuk men’didik’ singa yang jauh berbeza dengan mereka.

Sistem Manusia

Mengikut prinsip dan peraturan kehidupan manusia, sikap ini terlalu salah serta tidak menigikut petunjuk dari Utusan Allah, Nabi s.a.w. Bahkan Kalamullah, Al-Quran mengajarkan untuk menyelidik segala berita dan maklumat yang sampai sebelum kita menjatuhkan sesuatu musibah kepada orang lain. Baginda juga berpesan supaya menutup ke’aiban setiap muslim termasuklah diri sendiri dengan ganjaran Allah akan tutup ke’aibannya di hari akhirat kelak. Begitu juga Islam melarang daripada menyakiti hati dan jasad insani apatah lagi memukul saudara se’aqidah tanpa sebab yang dizin oleh syara’. Kerana itu kata Nabi, seseorang Muslim itu terselamat dari kejahatan lidah dan tangan Muslim yang lain.
Jika kes ini berlaku terhadap manusia, inilah nasihat saya terhadap hamba Allah sekalian.


Kembali Cerita Keldai

Seusai keldai memperlakukan singa sebegitu dasyat. Muncul dua tiga ekor keldai yang asyik dengan agenda buli secara ramai-ramai tadi tampil berhadapan dengan singa. Ingatkan ingin meneruskan slot sebelum itu. Tapi, baiknya keldai itu, mereka memberikan nasihat dan motivasi untuk berubah menjadi baik.Hah! jangan terkejut. Tapi, inilah fitrah bagi manusia. Suka kepada kebaikan. But, tidak ramai yang memenui jalan kebaikan itu.

Memang itu prinsipnya, setelah puas menghukum baru terfikir untuk mendidik dan menyeru kepada kebaikan dan kedamaian. Bagi kita insan, mungkin anda merasakan tidak ‘adil dan sebagainya. Alhamdulillah. Itu tanda iman kita masih hidup. Simpati kepada orang yang dizalimi haknya fitrah manusia selaku makhluk ciptaan Allah yang terbaik. Mereka diberi ‘aqal untuk berfikir dan merenung jauh kepada kehidupan abadi.

Selang beberapa minit seketika, singa dilepaskan dan pulanglah dia ke pangkuan kaum kerabat mereka. Dengan persaan marah dan dendam yang tersemat kerana di’adili oleh keldai yang bodoh itu menyebabkan singa itu meneruskan kehidupannya dengan mengumpat geng keldai itu. Nasib baik bukan manusia,  kalau tidak mana mungkin mereka sanggup untuk makan daging saudara mereka sendiri?

Keesokkan paginya, sang keldai kembali kepada penempatan kawan-kawan mereka yang tidak terlibat dalam kes semalam. Mereka dengan bangganya menceritakan perihal kes yang berlaku semalam kepada keldai lain. Tanpa rasa bersalah sedikit pun. Hasilnya, mereka dipandang tinggi dan dihormati.
Terokailah Kehidupan ini.

Beza dengan kita

Mujurlah mereka haiwan. Walau apapun perbuatan yang mereka  telah lakukan. Tiada kerisauan memikirkan balasan atau dipersoalkan akhirat kelak. Namun, banyak pengajaran yang dapat diambil untuk manusia hayati tentang kehidupan mereka.

Bezanya dengan manusia, mereka akan disoal diatas segala perbuatan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia. Satu persatu ditanya oleh Pencipta. Allah Maha Esa. Pada hari pen'adilan kelak. Tangan mereka berkata dengan mengaku semua perbuatan yang telah dilakuakan. Kaki pula menjadi saksi akan segala perbuatan empunya tubuh.

Keistimewaannya

Namun, manusia sentiasa diberi peluang untuk bertaubat selagi mana mereka menyedari kesalahan itu. Jika melibatkan dengan manusia, pergilah dengan memohon maaf dengan mereka. Jika kesilapan antara Tuhanmu. Berurusan dengan Allah Maha Pengampun. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hambaNya. Tanda Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Sedarilah Allah itu Maha Penerima Taubat.

Seruan saya kembalilah kepada Allah wahai pembuat dosa. Taubat itu lebih mudah dari tidak bertaubat.. Akurlah kelemahan dan kehinaan diri di hadapan Allah. Usah merasa hebat dan kagum dengan segala dan semua ni’mat yang dipinjamkan olehNya.

Hijrah satu tuntutan




بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه, أما بعد



Pengalaman seorang hamba itu dalam mengharungi mehnah dan tribulasi di pentas da'wah ini sungguh mengasyikkan. Bagi yang pernah melaluinya, tahulah bagaimana perasaan dan pengalaman itu. Tapi, tidak cukup sebenarnya untuk digambarkan dalam tulisan yang ringkas ini. Seorang insan yang baru dapat berpijak di bumi yang nyata ini setelah dia berubah dengan mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT. Hidupnya berubah dari  meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya kepada sinar nur Ilahi. Manusia tidak menyangka yang terlalu banyak perkara yang berlaku setelah dia menemui jalan untuk pulang ke pangkuan Tuhan. Itulah kehebatan dan keindahan yang terselit di sebalik hijrah seseorang insan. 

Manusia memerlukan perubahan. Walaupun diri mereka tidak ada keinginan untuk berubah. Berubah dari keburukan kepada kebaikan. Dari kemunkaran kepada ketaatan. Mungkin juga ada yang sebaliknya. Tapi, bukan golongan itu yang ingin kita sertai. Manusia sering beralasan bukan mudah untuk berubah. Ya, ada benar dakwaan itu untuk difikirkan. Namun, sukar untuk bertaubat itu, jauh lebih mudah dari tidak bertaubat. Cukupkah dengan bersenang sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang terlalu istimewa. Tidak terjangkau 'aqal ini untuk memikirkannya. Hanya percaya dan yaqin dengan janji-Nya yang tidak akan sama sekali mendustainya. Mana mungkin orang yang betul-betul mencariNya, betul-betul ikhlas untuk bertaubat, Allah abaikan usahanya. Firman-Nya : 

69. dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Al-'Ankabut)

Misi Kembara Mencari

Setelah itu, manusia akan diuji akan keimanannya. Sejauh mana pengakuan itu. Adakah sekadar lafaz di mulut. Kerana itu, ujian dan cabaran inilah akan ditempuhi untuk menilai iman yang tersemat di jiwa sanubari. Allah berkata lagi di awal surah al-'Ankabut : 
2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Iman itu ada kalanya naik. Ada akalanya turun. Begitulah 'i'tiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Soal bagaimana kita perlu dan mesti menjaga iman itu supaya hidup ini sentiasa mengingati PenciptaNya. Semuanya telah di ajarkan oleh 'ulama yang mengambil pengajaran dari kehidupan para sahabat-sahabat Nabi رضي الله عنهم . Merekalah yang betul- betul memahami selok-belok tentang sunnah Nabi serta Islam itu sendiri. 

Peng'i'tirfan itu telah digambarkan dalam AlQuran dan pengakuan Nabi s.a.w. Tiada alasan sebenarnya untuk kita berpaling tadah dari mengikuti jejak langkah mereka serta 'ulamak yang berjalan di atas landasan yang sama. Pentingnya para Salaf As-Soleh dalam kehidupan ini. 

Hijrah itu bemula apabila insan ini mula ingin menyebarkan kebaikan yang dirasai dirinya kepada masyarakat yang hidup sebumbung dan sekerjaya dengannya. Semua itu bermula setelah dia mengenali matlamat dan hala tuju kehidupan yang penuh tipu daya ini. Matlamat itu sudah pasti. Hanya perlu mengawal diri agar tidak jatuh dari landasan ini. Kalaulah silap landasan, nescaya sia-sia juga apa diusahakan.

Bagi yang pernah melalui ranjau perubahan dalam kehidupan ini pasti tidak bisa untuk diterjemahkan melalui cara ini. Umpama kemanisan iman yang dilalui oleh hamba yang merasainya, bukan mudah untuk dibacarakan melalui penulisan. 

JEJAKI SIRAH

Di awal da'wah Nabi, penekanan 'Aqidah yang diutamakan serta didahulukan. Tempoh 13 tahun yang cukup untuk sesuatu perubahan berlaku. Memerlukan strategi yang mampan dan ampuh bagi merobohkan benteng jahiliyyah manusia ketika itu. Tentang hukum-hakam ia bermula setelah hijrah berlaku. Tahukah, bagaimana cara Nabi gunakan untuk masuk dengan masyarakat 'Arab Jahiliyyah yang begitu rosak dan musnah. Nabi bermula dengan Akhlaq. Satu cara yang ramai orang tertinggal yang wajib dipraktikkan oleh umat Muhammad s.a.w pada hari ini.

Jelasnya, da'wah ini melibatkan sikap baik diri yang dipamerkan, tutur kata yang penuh kelembutan, diiringi rasa cinta dan disertai dengan perasaan kasihan belas kepada mereka. Secara ringkasnya, segala akhlak mulia dan berbuat baik kepada mereka.

Begitu juga seseorang penda'wah wajib meneliti sirah perjuangan Nabi dalam mengubah sesebuah diri dan masyarakat. Kata Hamka, "Islam telah berjaya membawa satu revolusi yang paling besar kepada jiwa manusia"

Ramai yang menyangka hidup hendaklah mengikut trend semasa. Perubahan yang dilakukan biarlah selari dengan kehendak dunia yang saban hari tidak leka dari kemajuan. Malah, insan yang ingin ubah perjalanan hidupnya. Terkesan dengan pujangga ini. Islam tidak meyanggah perubahan ini. Tapi, agama itu mesti yang diutamakan dan teratas. Bermaksud segala bentuk perbuatan dan percakapan tidak berubah dari apa yang ditetapkan oleh syari'at.

Ramai yang menyangka bukan senang untuk buat perubahan. Ya, memang sukar. Tapi, kamu fikir senang untuk  masuk syurga yang indah dan abadi. Kerana itu perubahan memerlukan masa, pengorbanan serta ujian yang wajib dihadapi dari Allah. Allah nyatakan dalam surah Al-Baqoroh, Juz ke-2.


214. Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).



Ujian itu bukan kita yang meminta. Ujian datang dengan heterogen rupa dan bentuk. Tujuannya untuk manusia sedar dan ingat apa yang dia telah lupa, ubah apa yang salah dan perbaiki amalan serta menghapuskan dosa dengan menambahkan pahala. Begitu hebat sungguh ujian yang dilanda generasi terdahulu. Cukuplah ini sebagai muhasabah untuk kita semua. Sempana awal tahun Hijrah ini. Cubalah untuk mengubah akhlak kita selari dengan apa yang di ajarkan oleh Islam agar kecintaan terhadap Allah dan Nabi kian subur dan tidak mudah pudar akibat dari hasutan musuh. Nasihat ini untuk diri yang menulis dan sahabat sekalian..

Salam Maal Hijrah 1434...kita semakin tua.



Makna Sebuah kehidupan


بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاهأما بعد


Kehidupan adalah satu perjalanan. Maka, untuk meneruskan perjalanan ini, ia memerlukan satu garis panduan dan pedoman yang dapat menunjukkan hala tuju yang benar. Manusia akan letih jika berjalan tanpa hala tuju dan mengikuti hala tuju yang salah.

Kebahagian hanya terdapat pada hati rohani yang bersih yang memahami tujuan hidup lalu menjalaninya dengan penuh fokus dan istiqomah terhadap matlamat tersebut. Seseorang yang tidak fokus hanya akan membuang waktunya lalu menyesali pembaziran tersebut setelah bertemu hari kemudian.

Hidup tanpa tujuan adalah kepalsuan. Manusia kekosongan tanpa mengetahui apa yang ingin dicari dan dicapai dalam perjalanan hidup ini.Sedangkan, kematian bukanlah penghujung perjalanan, ia adalah permulaan kehidupan yang sebenar. Maka, sesiapa yang inginkan kehidupan yang sejahtera setelah kematian, hendaklah dia melaksanakan tugas sebagai hamba selagi masih meniti usia kehidupan.

Jalan  kehidupan yang penuh dengan cerita.


Ke arah mencarinya...

Sesungguhnya manusia akan buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah perjalanan, bagaiamana pula dia tidak buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah kehidupan?

Soal “dari mana”, “ke mana” dan “kenapa” tentang kewujudan dan kehidupan ini merupakan di antara persoalan asasi dalam benak pemikiran manusia yang inginkan sebuah makna bagi kehidupannya. Tanpa jawapan yang tepat dan memuaskan terhadap persoalan tadi, maka jadilah kehidupan ini “kosong” sejak dari permulaaan hingga pengakhirannya.

Catatan sejarah telah memperlihatkan pelbagai bentuk “jawapan” menusia terhadap persoalan asasi ini, sama ada merujuk kepada aqalnya semata- mata atau merujuk kepada sumber lain. Rujukan kepada sumber lain bermaskud bukan dari dirinya sendiri, sama ada berpandukan wahyu dari Allah melalui utusan Rasul-Nya atau berteraskan dari nenek moyag mereka.
Ciri terpenting untuk menentukan makna kehidupan ini mestilah suatu yang tepat dengan hakikat yang sebenar, bukan sekadar khayaan, persepsi dan agakan.

Menghormati ‘Aqal

Kebanyakan umat Islam pada hari ini tidak meghormati dan menggunakan ‘aqal fikiran dengan tepat sepertimana yang disarakan oleh Al-Quran. Menghormati ‘aqal ini bukan sekadar menginsafi ia adalah anugerah Allah kepada makhluk manusia dan tidak diberikan kepada makhluk lain. Tetapi, kita hendaklah menggunakannya dengan tepat, meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, dan memaksimumkan penggunaannya.

Di dalam Al-Quran, kita dapati perkatan ‘aqal atau perbuatan yang berkaitan dengannya seperti berfikir banyak digunakan. Bahkan berkali-kali Allah nyatakan. Jika kita perhatikan, maka terlintas mengapa Allah mengulanginya berkali-kali dan sudah pasti ada tujuan yang tersurat dan tersirat di sebalik pengulangan tersebut. Allah berfirman dalam di awal surah Yusuf yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai (Al-Quran) dengan bahasa ‘Arab semoga kamu berfikir(menggunakan ‘aqal untuk memahaminya)... (Yusuf : 2)

Jelas menunjukkan, kita dianjurkan untuk belajar dan memahami bahasa ‘Arab yang telah dipilih oleh Allah sebagai bahasa Al-Quran.

Contoh lain, Allah berfirman dalam surah al-A'raf :
والدار الأخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون
 Maksudnya : Dan negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa, apakah kamu tidak berfikir..(al-A'raf : 169)

Di Bawah Naungan ALQURAN...

"Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.



Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi ni’mat  yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.



Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?



Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak.” (petikan Muqaddimah Tafsir Fi Zhilalil Quran)


Inilah ucapan bagi insan yang betul-betul memahami tujuan dan erti sebuah kehidupan. Mereka akan sentiasa memikirkan apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan kerana manusia sering bertembung dengan perkara yang mahu dan perlu dilakukan olehnya. Kadang-kadang dua perkara ini selisih dengan satu matlamat yang sama. Tetapi, ada kalanya banyak perkara yang tidak perlu kita lakukan, kita mahu lakukan. Begitulah sebaliknya. Sebagai contoh, kita perlu bangun solat subuh sebaiknya berjemaah, dalam masa yang sama kita mahu meneruskan tidur kita. Ha! Pada masa inilah ‘aqal akan berfikir bersandarkan jiwa yang berpengatahuan untuk mengeluarkan arahan. Jika kita bangun. Ini bermakna kita tahu tanggungjawab kita.

Sesungguhnya, sangat jelas peranan dan tujuan kita hidup di dunia ini. Perumpaan yang pernah diberikan oleh Tuan Guru saya “kalau kita tambat lembu di padang tujuan hendak suruh dia makan, masakan kalau kita Allah ciptakan tanpa ada tujuan yang jelas.”


Tulisan 10 Zul Hijjah

بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله ومن والاهأما بعد

Di pagi Hari An-Nahr

Kedengaran takbir raya dari corong pembesar suara Masjid Al-Muqarrabin, Kg. Bechah Kura. Sungguh sayup dan kesedihan jika dihayati alunan suara Imam Masjid. Langkah kaki bermula untuk ke Masjid berhampiran dengan rumah. Kira-kira 1 kilometer jaraknya. Jam randik aku  baru menunjukkan pukul 8 pagi. Awal juga aku sampai. Masjid pun masih kosong untuk dipenuhi, terutamanya shaf-shaf pertama dan kedua. 

Selalu sesetengah orang menyangka manusia yang berada di saf hadapan itu, orang yang baik dan ekslusif untuk para imam dan insan yang memakai nametag "pak cik" sahaja. Sesungguhnya kelebihan solat di shaf pertama sungguh menakjubkan. Bagi hamba yang memerlukan pahala yang lebih, mungkin shaf itu menjadi pilihan dan harapannya. Tapi, masih ramai yang malu untuk mendapatkan ganjaran yang dikhabarkan oleh Nabi.

Antaranya : 
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يستغفر للصف المقدم ثلاثا وللثاني مرة
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah SAW meminta pengampunan untuk shaf pertama sebanyak tiga kali dan hanya sekali untuk shaf kedua. HR Ibnu Majah (986); Shahih: Shahih Ibnu Majah (822)

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda : 
إن الله وملائكته يصلون على الصف الأول
Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat berselawat (mengampuni atau meminta pengampunan) ke atas shaf pertama. HR Ibnu Majah (987); Hasan Shahih: Shahih Ibnu Majah (825)

Nah, begitu luas rahmat Allah SWT. Dia tidak pernah dan tidak akan sama sekali menzhalimi hambaNya. Namun manusia itu sendiri yang berusaha untuk membinasakan kehidupan yang diberikan olehNya. 

Rebut Peluang Ini

Soal 'ibadah ini jangan sama sekali kita berasa sudah cukup dengan perkara wajib sahaja. Belum tentu yang wajib itu sempurna dan diterima. Sentiasalah merasakan diri ini memerlukan rahmat dan maghfirah Allah. Sebanyak mana pun dosa yang dilakukan. Bersihkan jiwa itu dengan melazimi istighfar. Nabi setiap hari beristighfar 100 kali atau dalam riwayat lain 70 kali. Masakan kita pembuat dosa boleh berdiam diri meminta ampun dari Maha Pengampun. Cubalah untuk beramal dengan petunjuk dari AlQuran dan AsSunnah yang Shahih. Rugilah kalau yang ajarkannya kita abaikan. Perkara baru yang direka manusia pula kita beramal. Semacam kita mengkhianati Sunnah itu sendiri.

Jangan pernah merasakan dosa kita sedikit, pahala kita banyak. Mungkin itu perangkap syaithan. Diubah ikhlas menjadi riya' yang mensia-siakan 'amalan. Ubah pemikiran untuk menjana perubahan yang berlaku dalam kehidupan ini. Kehidupan yang sementara ini perlu dirancang sebaik mungkin untuk menghadapi hari kemudian. Jangan dibazirkan dengan perkara yang tidak memberi faedah. 

Allah berfirman : 
"Dia (Allah) berfirman : berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab : kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari, maka bertanyalah kepada mereka yang menghitung. (Al-Mukmimun : 112-113)

Cukup singkat masa jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang dibebani. Namun, bukan alasan untuk kita meninggalakan kerja yang ditinggalkan oleh Nabi untuk kita warisi iaitu kerja Da'wah. Allah tidak pernah membebani seseorang itu melainkan dengan kemampuannya. Cubalah sedaya upaya berusaha untuk kita melaksanakannya. Bersabar menghadapi ujian yang melanda. Jangan cepat mengalah dan putus asa.

Justeru, gunakan dan manfaatkan ni'mat masa yang diberikan sebaik mungkin. Cubalah mengisinya dengan perkara yang dapat saham di akhirat kelak. 






Back to Top