Di pagi Hari An-Nahr
Kedengaran takbir raya dari corong pembesar suara Masjid Al-Muqarrabin, Kg. Bechah Kura. Sungguh sayup dan kesedihan jika dihayati alunan suara Imam Masjid. Langkah kaki bermula untuk ke Masjid berhampiran dengan rumah. Kira-kira 1 kilometer jaraknya. Jam randik aku baru menunjukkan pukul 8 pagi. Awal juga aku sampai. Masjid pun masih kosong untuk dipenuhi, terutamanya shaf-shaf pertama dan kedua.
Selalu sesetengah orang menyangka manusia yang berada di saf hadapan itu, orang yang baik dan ekslusif untuk para imam dan insan yang memakai nametag "pak cik" sahaja. Sesungguhnya kelebihan solat di shaf pertama sungguh menakjubkan. Bagi hamba yang memerlukan pahala yang lebih, mungkin shaf itu menjadi pilihan dan harapannya. Tapi, masih ramai yang malu untuk mendapatkan ganjaran yang dikhabarkan oleh Nabi.
Antaranya :
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يستغفر للصف المقدم ثلاثا وللثاني مرة
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah SAW meminta pengampunan untuk shaf pertama sebanyak tiga kali dan hanya sekali untuk shaf kedua. HR Ibnu Majah (986); Shahih: Shahih Ibnu Majah (822)
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda :
إن الله وملائكته يصلون على الصف الأول
Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat berselawat (mengampuni atau meminta pengampunan) ke atas shaf pertama. HR Ibnu Majah (987); Hasan Shahih: Shahih Ibnu Majah (825)
Nah, begitu luas rahmat Allah SWT. Dia tidak pernah dan tidak akan sama sekali menzhalimi hambaNya. Namun manusia itu sendiri yang berusaha untuk membinasakan kehidupan yang diberikan olehNya.
Rebut Peluang Ini
Soal 'ibadah ini jangan sama sekali kita berasa sudah cukup dengan perkara wajib sahaja. Belum tentu yang wajib itu sempurna dan diterima. Sentiasalah merasakan diri ini memerlukan rahmat dan maghfirah Allah. Sebanyak mana pun dosa yang dilakukan. Bersihkan jiwa itu dengan melazimi istighfar. Nabi setiap hari beristighfar 100 kali atau dalam riwayat lain 70 kali. Masakan kita pembuat dosa boleh berdiam diri meminta ampun dari Maha Pengampun. Cubalah untuk beramal dengan petunjuk dari AlQuran dan AsSunnah yang Shahih. Rugilah kalau yang ajarkannya kita abaikan. Perkara baru yang direka manusia pula kita beramal. Semacam kita mengkhianati Sunnah itu sendiri.
Jangan pernah merasakan dosa kita sedikit, pahala kita banyak. Mungkin itu perangkap syaithan. Diubah ikhlas menjadi riya' yang mensia-siakan 'amalan. Ubah pemikiran untuk menjana perubahan yang berlaku dalam kehidupan ini. Kehidupan yang sementara ini perlu dirancang sebaik mungkin untuk menghadapi hari kemudian. Jangan dibazirkan dengan perkara yang tidak memberi faedah.
Allah berfirman :
"Dia (Allah) berfirman : berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab : kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari, maka bertanyalah kepada mereka yang menghitung. (Al-Mukmimun : 112-113)
Cukup singkat masa jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang dibebani. Namun, bukan alasan untuk kita meninggalakan kerja yang ditinggalkan oleh Nabi untuk kita warisi iaitu kerja Da'wah. Allah tidak pernah membebani seseorang itu melainkan dengan kemampuannya. Cubalah sedaya upaya berusaha untuk kita melaksanakannya. Bersabar menghadapi ujian yang melanda. Jangan cepat mengalah dan putus asa.
Justeru, gunakan dan manfaatkan ni'mat masa yang diberikan sebaik mungkin. Cubalah mengisinya dengan perkara yang dapat saham di akhirat kelak.
Leave reply