بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه, أما بعد
Kebahagian hanya terdapat pada hati rohani yang bersih yang memahami tujuan
hidup lalu menjalaninya dengan penuh fokus dan istiqomah terhadap matlamat
tersebut. Seseorang yang tidak fokus hanya akan membuang waktunya lalu
menyesali pembaziran tersebut setelah bertemu hari kemudian.
Hidup tanpa tujuan adalah kepalsuan. Manusia kekosongan tanpa mengetahui
apa yang ingin dicari dan dicapai dalam perjalanan hidup ini.Sedangkan,
kematian bukanlah penghujung perjalanan, ia adalah permulaan kehidupan yang
sebenar. Maka, sesiapa yang inginkan kehidupan yang sejahtera setelah kematian,
hendaklah dia melaksanakan tugas sebagai hamba selagi masih meniti usia
kehidupan.
Ke arah mencarinya...
Sesungguhnya manusia akan buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah
perjalanan, bagaiamana pula dia tidak buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah
kehidupan?
Soal “dari mana”, “ke mana” dan “kenapa” tentang kewujudan dan kehidupan
ini merupakan di antara persoalan asasi dalam benak pemikiran manusia yang
inginkan sebuah makna bagi kehidupannya. Tanpa jawapan yang tepat dan memuaskan
terhadap persoalan tadi, maka jadilah kehidupan ini “kosong” sejak dari
permulaaan hingga pengakhirannya.
Catatan sejarah telah memperlihatkan pelbagai bentuk “jawapan” menusia
terhadap persoalan asasi ini, sama ada merujuk kepada aqalnya semata- mata atau
merujuk kepada sumber lain. Rujukan kepada sumber lain bermaskud bukan dari
dirinya sendiri, sama ada berpandukan wahyu dari Allah melalui utusan Rasul-Nya
atau berteraskan dari nenek moyag mereka.
Ciri terpenting untuk menentukan makna kehidupan ini mestilah suatu yang
tepat dengan hakikat yang sebenar, bukan sekadar khayaan, persepsi dan agakan.
Menghormati ‘Aqal
Kebanyakan umat Islam pada hari ini tidak meghormati dan menggunakan ‘aqal
fikiran dengan tepat sepertimana yang disarakan oleh Al-Quran. Menghormati
‘aqal ini bukan sekadar menginsafi ia adalah anugerah Allah kepada makhluk
manusia dan tidak diberikan kepada makhluk lain. Tetapi, kita hendaklah
menggunakannya dengan tepat, meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, dan
memaksimumkan penggunaannya.
Di dalam Al-Quran, kita dapati perkatan ‘aqal atau perbuatan yang berkaitan
dengannya seperti berfikir banyak digunakan. Bahkan berkali-kali Allah
nyatakan. Jika kita perhatikan, maka terlintas mengapa Allah mengulanginya
berkali-kali dan sudah pasti ada tujuan yang tersurat dan tersirat di sebalik
pengulangan tersebut. Allah berfirman dalam di awal surah Yusuf yang bermaksud
:
Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai (Al-Quran)
dengan bahasa ‘Arab semoga kamu berfikir(menggunakan ‘aqal untuk memahaminya)...
(Yusuf : 2)
Jelas menunjukkan, kita dianjurkan untuk belajar dan memahami bahasa ‘Arab
yang telah dipilih oleh Allah sebagai bahasa Al-Quran.
Contoh lain, Allah berfirman dalam surah al-A'raf :
والدار الأخرة خير للذين يتقون
أفلا تعقلون
Maksudnya : Dan negeri Akhirat itu
lebih baik bagi orang yang bertaqwa, apakah kamu tidak berfikir..(al-A'raf :
169)
Di Bawah Naungan
ALQURAN...
"Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu
keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang
mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan
membersihkan usia seseorang.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku
keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku
telah mengecapi ni’mat yang tidak pernah
aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan
membersihkan usiaku.
Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya
Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah
penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan
Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari
keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan
bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh
Allah Pencipta Yang Maha Mulia?
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah
berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita
penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja
jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka,
iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat
dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan
kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak.” (petikan
Muqaddimah Tafsir Fi Zhilalil Quran)
Inilah ucapan bagi insan yang betul-betul memahami tujuan
dan erti sebuah kehidupan. Mereka akan sentiasa memikirkan apa yang perlu dan
tidak perlu dilakukan kerana manusia sering bertembung dengan perkara yang mahu
dan perlu dilakukan olehnya. Kadang-kadang dua perkara ini selisih dengan satu
matlamat yang sama. Tetapi, ada kalanya banyak perkara yang tidak perlu kita
lakukan, kita mahu lakukan. Begitulah sebaliknya. Sebagai contoh, kita perlu
bangun solat subuh sebaiknya berjemaah, dalam masa yang sama kita mahu
meneruskan tidur kita. Ha! Pada masa inilah ‘aqal akan berfikir bersandarkan
jiwa yang berpengatahuan untuk mengeluarkan arahan. Jika kita bangun. Ini
bermakna kita tahu tanggungjawab kita.
Sesungguhnya, sangat jelas peranan dan tujuan kita hidup
di dunia ini. Perumpaan yang pernah diberikan oleh Tuan Guru saya “kalau kita
tambat lembu di padang tujuan hendak suruh dia makan, masakan kalau kita Allah
ciptakan tanpa ada tujuan yang jelas.”