Kelebihan Menuntut Ilmu

Sesiapa yang merentasi satu jalan untuk menuntut ilmu  


    عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ : كُنْتُ جَالِسًا مَعَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ, فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ : يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ ! إِنِّي جِئْتُكَ مِنْ مَدِينَةِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُهُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ, مَا جِئْتُ لِحَاجَةٍ. قَالَ : فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : 

(مَنْ سَلَكَ طريقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا ، سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الجَّنَةِ ، وَإِنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ العِلْمِ ، وَإِنَّ العَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ ، وَالحِيتَانُ فِي جَوْفِ المَاءِ ، وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِلَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى َسَائِرِ الكَوَاكِبِ ، وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا ، وَإِنَّمَا وَرَّثُوا العِلْمَ فَمَن أخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ) رواه أحمد والترمذي, ,أبو داود, وابن ماجه والدارمي .

Maksudnya : Daripada Kathir bin Qais katanya : Ketika aku sedang duduk bersama Abu ad-Dardak R.A. di Masjid Dimasyq, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu dia berkata ; “Wahai Aba ad-Dardak ! Sesungguhnya saya datang kepadamu daripada Madinah ar-Rasul S.A.W. kerana satu hadis yang sampai kepada saya bahawa engkau meriwayatkannya daripada Rasulullah S.A.W. Saya tidak datang kerana sesuatu hajat yang lain”.

Dia (Abu ad-Dardak) berkata : “Sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

"Sesiapa yang merentasi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan membuka dengannya salah satu jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat-malaikat akan meletakkan sayap-sayapnya kerana suka kepada penuntut ilmu dan mereka yang berada di langit dan bumi serta ikan di dalam air pasti memohon keampunan untuk seorang ahli ilmu. Sesungguhnya kelebihan seorang alim keatas seorang ‘abid (ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan di malam purnama ke atas sekalian bintang-bintang. Sesungguhnya Ulama-ulama adalah pewaris para nabi dan Nabi-nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Meraka hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang besar".

(Sunan Abi Daud : Bab Galakan Menuntut Ilmu, Sunan Ibn Majah : Bab Kelebihan Ulama dan Galakan Supaya Menuntut Ilmu, Jami’ At-Tirmizi : Bab Hadis Yang Datang Berkenaan Ilmu Yang Mendalam Tentang Agama Daripada Ibadah)

Kenangan di Morocco


       Ulama Salaf sering mengambara untuk menuntut ilmu dan ada ketikanya mereka merentasi perjalanan yang jauh semata-mata kerana satu hadis. Mereka melakukan demikian untuk memastikan kebenaran sesuatu hadis yang didengar dan juga untuk mendapatkan sanad yang lebih hampir dengan Nabi S.A.W. Lebih hampir sanad dengan Baginda bermakna lebih tinggi sanad sesuatu hadis dan lebih diyakini kebenarannya. Mereka amat mengambil berat tentang sanad kerana menjaga ilmu ini termasuk di dalam penjagaan agama. Antara pesanan ulama generasi awal yang berpendangan sedemikian ialah seperti Ibnu Sirin. 

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ قَالَ : إِنَّ هَذَا العِلْمَ دِينٌ. فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ . 

Maksudnya : Daripada Muhammad bin Sirin katanya : 'Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh itu perhatikan dari siapakah kamu mengambil agama kamu'.

Dan Ibn al-Mubarak berkata : 

.عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ المُبَارَكِ يَقُولُ : الإِسْنَادُ مِنَ الدِينِ وَلَوْلَا الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Al-Mubarak katanya : 'Sanad adalah termasuk di dalam agama. Tanpa sanad maka orang yang ingin berkata sesuatu akan berkata mengikut apa yang ia kehendaki'.
(Mukaddimah Sahih Muslim)

              
       Di dalam riwayat di atas setelah Abu Dardak mendengar penjelasan daripada tabi'in yang telah merentasi perjalanan yang begitu jauh kerana semata-mata untuk mendapatkan penjelasan tentang satu hadis, maka beliau lantas mengemukakan satu hadis yang dimaksudkan oleh tabi'in tersebut. Boleh jadi itu adalah hadis yang dimaksudkan oleh tabi'in tersebut atau Abu Dardak mengemukan hadis tersebut sebagai memberikan berita gembira dan untuk meringankan sedikit bebanan yang dipikulnya sepanjang perjalanan tersebut di samping sebagai galakan supaya terus melakukan amalan sebegini. 

Hadis ini menunjukkan beberapa kelebihan ilmu. Kelebihan pertama ialah Allah akan memudahkan untuk seseorang yang menuntut ilmu salah satu jalan ke syurga. Balasan ini adalah sesuai dengan amalan yang dilakukannya iaitu dipermudahkan jalan ke syurga walaupun dengan hanya merentasi satu perjalanan jauh semata-mata menuntut ilmu. Apatah lagi bilamana seseorang itu dapat memperolehi kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama dengan perjalanan yang dilakukannya itu. 

       Mulla 'Ali al-Qari ketika menghuraikan hadis ini menukilkan kata-kata Ibn al-Malik iaitu : 

وقال ابن الملك : فيه إشارة إلى أن طرق الجنة كثيرة وكل عمل صالح طريق من طرقها. وطرق العلم أقرب الطرق إليها وأعظم ا ه . قلت والأظهر أن كل علم طريق إلى الجنة كما يستفاد من تنكيرها وفيه إيماء إلى أن طرق الجنة محصورة في طرق العلم فإن العمل الصالح لا يتصور بدون العلم والله أعلم

Maksdunya : 'Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa jalan-jalan Syurga adalah banyak dan setiap amalan soleh adalah merupakan jalan ke Syurga. Jalan-jalan ilmu adalah merupakan jalan yang paling hampir dan paling utama'. Kemudian beliau (Mulla 'Ali al-Qari) berkata : 'Yang nyata disini ialah setiap ilmu merupakan jalan ke Syurga sebagimana yang difahami daripada penggunaan nakirah (pada perkataan طريقا iaitu jalan) dan di sini juga terdapat isyarat bahawa jalan-jalan ke Syurga hanyalah melalui jalan ilmu kerana amal soleh hanya dapat dilakukan dengan adanya ilmu'.


Termasuk di dalam makna merentasi jalan ialah bersusah payah dan menghadapi pelbagai cabaran semasa menuntut ilmu. Mungkin juga seseorang itu belajar di tanahairnya sahaja, namun dengan pengorbanan yang dilaluinya maka dia akan memperolehi ganjaran seperti merentasi perjalanan yang jauh dengan tujuan yang sama. Semakin banyak ilmu yang diperolehi seseorang, maka semakin besarlah jalan ke Syurga yang disediakan untuknya. 

       Kelebihan yang kedua ialah para malaikat menghamparkan sayapnya kerana suka kepada orang yang menuntut ilmu. Maksud 'melatakkan sayap' dari segi majazi dalam ilmu balaghah bermaksud memberikan penghormatan, membesarkan dan merendahkan diri kepada penuntut ilmu. Penggunaan yang sama juga terdapat di dalam al-Quran seperti firman Allah Ta'ala dalam surah al-Israk ayat 24 : 

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا 


Maksudnya : Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata) : 'Wahai Tuhanku ! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. 

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah As-Syu'arak ayat 215 :

َوَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤْمِنِين

Maksdunya : Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. 

       Sebilangan dari kalangan ulama mengatakan meletakkan sayap di sini dengan makna hakiki iaitu bermaksud para malaikat menghamparkan sayapnya supaya menjadi hamparan kepada orang yang berjalan untuk menuntut ilmu sehingga sampai ke tempatnya dengan selamat. Sesetengah ulama yang lain mengatakan maksudnya ialah malaikat membantunya dalam menuntut ilmu. 


       Kelebihan yang ketiga ialah segala hidupan yang berada di langit dan di bumi sehingga ikan yang berada di dasar lautan memohon keampunan kepada penuntut ilmu. Menyebutkan ikan selepas makhluk-makhluk yang lain (di dalam istilah dinamakan التخصيص بعد التعميم bermaksud menyebutkan khusus selepas menyebutkan secara umum) sebagai menjelaskan lagi bahawa segala kehidupan turut sama memohon keampunan tersebut. Antara sebab seluruh makhluk beristighfar kepadanya ialah, kerana dengan sebab orang yang berilmu, segala kebaikan dapat ditegakkan dan rahmat serta keberkatan dari Allah akan melimpah ruah di dunia ini. Natijahnya, membawa kepada keamanan, kesenangan dan kehidupan yang baik untuk semua makhluk.


       Seterusnya Nabi S.A.W. membuat perbandingan antara orang yang berilmu dengan ahli ibadah seperti perbandingan antara bulan di malam purnama dengan sekalian bintang-bintang. Perumpamaan ahli ilmu dengan bulan purnama adalah dari sudut ahli ilmu dapat memberikan manfaat dengan ilmunya kepada orang lain sebagimana bulan yang menyinari bumi dengan cahayanya dan bukan hanya sekadar untuk kebaikan dirinya sendiri. Sementara ahli ibadah pula diumpamakan dengan bintang kerana cahayanya hanyalah untuk dirinya sahaja dan tidak dapat memberikan manfaat kepada yang lain. Begitulah juga ahli ibadah yang mana segala amalan yang dilakukannya hanya untuk manfaat diri sendiri sahaja.

      Walaubagaimanapun, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Maksud Nabi S.A.W. di sini bukanlah untuk memisahkan antara amal ibadah dan ilmu tetapi perbezaan kedua-duanya adalah dari segi mengutamakan salah satu daripadanya. Dua perkara ini tidak dapat dipisahkan sama sekali. Malah jika dipisahkan antara keduanya akan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka kerana sahnya sesuatu amal adalah dengan ilmu dan sempurnanya ilmu adalah dengan beramal (bagi ilmu yang bersifat amalan). Orang yang beramal tanpa sebarang ilmu lalu beramal dengan tidak mengikuti cara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W. adalah tidak termasuk dalam perumpamaan ini. 

       Kelebihan ahli ilmu seterusnya ialah mereka merupakan pewaris Nabi-nabi kerana Nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka berbentuk harta benda dunia. Sebaliknya pusaka yang ditinggalkan oleh mereka untuk diwarisi ialah ilmu, Nabi S.A.W. bersabda di dalam hadis yang lain : 

ٌقال أبو بكرٍ: إن رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال : لا نُورِثُ مَا تَرَكْنَا فهو صَدَقَة


Maksudnya : Abu Bakr R.A. berkata : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda : 'Kami tidak diwarisi, apa yang kami tinggalkan maka ia menjadi sedekah'. (Sahih al-Bukhari : Bab Manaqib Keluarga Rasulullah S.A.W.)

Di sini juga menunjukkan bahawa penyerahan diri serta ketakwaan Nabi-nabi kepada Allah Ta'ala adalah sangat tinggi dan sempurna. Kerana itu mereka tidak memikirkan mata benda dunia untuk ditinggalkan kepada keluarga selepas kewafatannya. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi-nabi bukan mengerjakan kerja mereka (menyampaikan kebenaran) dengan maksud keduniaan tetapi hanyalah semata-mata kerana Allah S.W.T. Al-Quran menukilkan kata-kata para Nabi di dalam menjalankan dakwah : 

ٌإِنْ أَجْرِيَ إِلاَّ عَلَى اللهِ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيد

Maksudnya : Balasan yang sebenar untukku hanyalah dari Allah dan Dia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (Surah Sabak ayat 47) .


________________

Rujukan :

1. Miskat al-Mashobih, At-Tibrizi
2. Mirqaat al-Mafaatih, Mulla 'Ali al-Qari
3. Syarah Misykat al-Mashobih : Kitab al-Ilm, Abu Naaeilah



      


Leave reply

Back to Top