2014

Kelebihan Menuntut Ilmu

Sesiapa yang merentasi satu jalan untuk menuntut ilmu  


    عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ : كُنْتُ جَالِسًا مَعَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ, فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ : يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ ! إِنِّي جِئْتُكَ مِنْ مَدِينَةِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُهُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ, مَا جِئْتُ لِحَاجَةٍ. قَالَ : فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : 

(مَنْ سَلَكَ طريقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا ، سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الجَّنَةِ ، وَإِنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ العِلْمِ ، وَإِنَّ العَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ ، وَالحِيتَانُ فِي جَوْفِ المَاءِ ، وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِلَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى َسَائِرِ الكَوَاكِبِ ، وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا ، وَإِنَّمَا وَرَّثُوا العِلْمَ فَمَن أخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ) رواه أحمد والترمذي, ,أبو داود, وابن ماجه والدارمي .

Maksudnya : Daripada Kathir bin Qais katanya : Ketika aku sedang duduk bersama Abu ad-Dardak R.A. di Masjid Dimasyq, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu dia berkata ; “Wahai Aba ad-Dardak ! Sesungguhnya saya datang kepadamu daripada Madinah ar-Rasul S.A.W. kerana satu hadis yang sampai kepada saya bahawa engkau meriwayatkannya daripada Rasulullah S.A.W. Saya tidak datang kerana sesuatu hajat yang lain”.

Dia (Abu ad-Dardak) berkata : “Sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

"Sesiapa yang merentasi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan membuka dengannya salah satu jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat-malaikat akan meletakkan sayap-sayapnya kerana suka kepada penuntut ilmu dan mereka yang berada di langit dan bumi serta ikan di dalam air pasti memohon keampunan untuk seorang ahli ilmu. Sesungguhnya kelebihan seorang alim keatas seorang ‘abid (ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan di malam purnama ke atas sekalian bintang-bintang. Sesungguhnya Ulama-ulama adalah pewaris para nabi dan Nabi-nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Meraka hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang besar".

(Sunan Abi Daud : Bab Galakan Menuntut Ilmu, Sunan Ibn Majah : Bab Kelebihan Ulama dan Galakan Supaya Menuntut Ilmu, Jami’ At-Tirmizi : Bab Hadis Yang Datang Berkenaan Ilmu Yang Mendalam Tentang Agama Daripada Ibadah)

Kenangan di Morocco


       Ulama Salaf sering mengambara untuk menuntut ilmu dan ada ketikanya mereka merentasi perjalanan yang jauh semata-mata kerana satu hadis. Mereka melakukan demikian untuk memastikan kebenaran sesuatu hadis yang didengar dan juga untuk mendapatkan sanad yang lebih hampir dengan Nabi S.A.W. Lebih hampir sanad dengan Baginda bermakna lebih tinggi sanad sesuatu hadis dan lebih diyakini kebenarannya. Mereka amat mengambil berat tentang sanad kerana menjaga ilmu ini termasuk di dalam penjagaan agama. Antara pesanan ulama generasi awal yang berpendangan sedemikian ialah seperti Ibnu Sirin. 

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ قَالَ : إِنَّ هَذَا العِلْمَ دِينٌ. فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ . 

Maksudnya : Daripada Muhammad bin Sirin katanya : 'Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh itu perhatikan dari siapakah kamu mengambil agama kamu'.

Dan Ibn al-Mubarak berkata : 

.عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ المُبَارَكِ يَقُولُ : الإِسْنَادُ مِنَ الدِينِ وَلَوْلَا الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Al-Mubarak katanya : 'Sanad adalah termasuk di dalam agama. Tanpa sanad maka orang yang ingin berkata sesuatu akan berkata mengikut apa yang ia kehendaki'.
(Mukaddimah Sahih Muslim)

              
       Di dalam riwayat di atas setelah Abu Dardak mendengar penjelasan daripada tabi'in yang telah merentasi perjalanan yang begitu jauh kerana semata-mata untuk mendapatkan penjelasan tentang satu hadis, maka beliau lantas mengemukakan satu hadis yang dimaksudkan oleh tabi'in tersebut. Boleh jadi itu adalah hadis yang dimaksudkan oleh tabi'in tersebut atau Abu Dardak mengemukan hadis tersebut sebagai memberikan berita gembira dan untuk meringankan sedikit bebanan yang dipikulnya sepanjang perjalanan tersebut di samping sebagai galakan supaya terus melakukan amalan sebegini. 

Hadis ini menunjukkan beberapa kelebihan ilmu. Kelebihan pertama ialah Allah akan memudahkan untuk seseorang yang menuntut ilmu salah satu jalan ke syurga. Balasan ini adalah sesuai dengan amalan yang dilakukannya iaitu dipermudahkan jalan ke syurga walaupun dengan hanya merentasi satu perjalanan jauh semata-mata menuntut ilmu. Apatah lagi bilamana seseorang itu dapat memperolehi kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama dengan perjalanan yang dilakukannya itu. 

       Mulla 'Ali al-Qari ketika menghuraikan hadis ini menukilkan kata-kata Ibn al-Malik iaitu : 

وقال ابن الملك : فيه إشارة إلى أن طرق الجنة كثيرة وكل عمل صالح طريق من طرقها. وطرق العلم أقرب الطرق إليها وأعظم ا ه . قلت والأظهر أن كل علم طريق إلى الجنة كما يستفاد من تنكيرها وفيه إيماء إلى أن طرق الجنة محصورة في طرق العلم فإن العمل الصالح لا يتصور بدون العلم والله أعلم

Maksdunya : 'Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa jalan-jalan Syurga adalah banyak dan setiap amalan soleh adalah merupakan jalan ke Syurga. Jalan-jalan ilmu adalah merupakan jalan yang paling hampir dan paling utama'. Kemudian beliau (Mulla 'Ali al-Qari) berkata : 'Yang nyata disini ialah setiap ilmu merupakan jalan ke Syurga sebagimana yang difahami daripada penggunaan nakirah (pada perkataan طريقا iaitu jalan) dan di sini juga terdapat isyarat bahawa jalan-jalan ke Syurga hanyalah melalui jalan ilmu kerana amal soleh hanya dapat dilakukan dengan adanya ilmu'.


Termasuk di dalam makna merentasi jalan ialah bersusah payah dan menghadapi pelbagai cabaran semasa menuntut ilmu. Mungkin juga seseorang itu belajar di tanahairnya sahaja, namun dengan pengorbanan yang dilaluinya maka dia akan memperolehi ganjaran seperti merentasi perjalanan yang jauh dengan tujuan yang sama. Semakin banyak ilmu yang diperolehi seseorang, maka semakin besarlah jalan ke Syurga yang disediakan untuknya. 

       Kelebihan yang kedua ialah para malaikat menghamparkan sayapnya kerana suka kepada orang yang menuntut ilmu. Maksud 'melatakkan sayap' dari segi majazi dalam ilmu balaghah bermaksud memberikan penghormatan, membesarkan dan merendahkan diri kepada penuntut ilmu. Penggunaan yang sama juga terdapat di dalam al-Quran seperti firman Allah Ta'ala dalam surah al-Israk ayat 24 : 

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا 


Maksudnya : Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata) : 'Wahai Tuhanku ! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. 

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah As-Syu'arak ayat 215 :

َوَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤْمِنِين

Maksdunya : Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. 

       Sebilangan dari kalangan ulama mengatakan meletakkan sayap di sini dengan makna hakiki iaitu bermaksud para malaikat menghamparkan sayapnya supaya menjadi hamparan kepada orang yang berjalan untuk menuntut ilmu sehingga sampai ke tempatnya dengan selamat. Sesetengah ulama yang lain mengatakan maksudnya ialah malaikat membantunya dalam menuntut ilmu. 


       Kelebihan yang ketiga ialah segala hidupan yang berada di langit dan di bumi sehingga ikan yang berada di dasar lautan memohon keampunan kepada penuntut ilmu. Menyebutkan ikan selepas makhluk-makhluk yang lain (di dalam istilah dinamakan التخصيص بعد التعميم bermaksud menyebutkan khusus selepas menyebutkan secara umum) sebagai menjelaskan lagi bahawa segala kehidupan turut sama memohon keampunan tersebut. Antara sebab seluruh makhluk beristighfar kepadanya ialah, kerana dengan sebab orang yang berilmu, segala kebaikan dapat ditegakkan dan rahmat serta keberkatan dari Allah akan melimpah ruah di dunia ini. Natijahnya, membawa kepada keamanan, kesenangan dan kehidupan yang baik untuk semua makhluk.


       Seterusnya Nabi S.A.W. membuat perbandingan antara orang yang berilmu dengan ahli ibadah seperti perbandingan antara bulan di malam purnama dengan sekalian bintang-bintang. Perumpamaan ahli ilmu dengan bulan purnama adalah dari sudut ahli ilmu dapat memberikan manfaat dengan ilmunya kepada orang lain sebagimana bulan yang menyinari bumi dengan cahayanya dan bukan hanya sekadar untuk kebaikan dirinya sendiri. Sementara ahli ibadah pula diumpamakan dengan bintang kerana cahayanya hanyalah untuk dirinya sahaja dan tidak dapat memberikan manfaat kepada yang lain. Begitulah juga ahli ibadah yang mana segala amalan yang dilakukannya hanya untuk manfaat diri sendiri sahaja.

      Walaubagaimanapun, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Maksud Nabi S.A.W. di sini bukanlah untuk memisahkan antara amal ibadah dan ilmu tetapi perbezaan kedua-duanya adalah dari segi mengutamakan salah satu daripadanya. Dua perkara ini tidak dapat dipisahkan sama sekali. Malah jika dipisahkan antara keduanya akan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka kerana sahnya sesuatu amal adalah dengan ilmu dan sempurnanya ilmu adalah dengan beramal (bagi ilmu yang bersifat amalan). Orang yang beramal tanpa sebarang ilmu lalu beramal dengan tidak mengikuti cara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W. adalah tidak termasuk dalam perumpamaan ini. 

       Kelebihan ahli ilmu seterusnya ialah mereka merupakan pewaris Nabi-nabi kerana Nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka berbentuk harta benda dunia. Sebaliknya pusaka yang ditinggalkan oleh mereka untuk diwarisi ialah ilmu, Nabi S.A.W. bersabda di dalam hadis yang lain : 

ٌقال أبو بكرٍ: إن رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال : لا نُورِثُ مَا تَرَكْنَا فهو صَدَقَة


Maksudnya : Abu Bakr R.A. berkata : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda : 'Kami tidak diwarisi, apa yang kami tinggalkan maka ia menjadi sedekah'. (Sahih al-Bukhari : Bab Manaqib Keluarga Rasulullah S.A.W.)

Di sini juga menunjukkan bahawa penyerahan diri serta ketakwaan Nabi-nabi kepada Allah Ta'ala adalah sangat tinggi dan sempurna. Kerana itu mereka tidak memikirkan mata benda dunia untuk ditinggalkan kepada keluarga selepas kewafatannya. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi-nabi bukan mengerjakan kerja mereka (menyampaikan kebenaran) dengan maksud keduniaan tetapi hanyalah semata-mata kerana Allah S.W.T. Al-Quran menukilkan kata-kata para Nabi di dalam menjalankan dakwah : 

ٌإِنْ أَجْرِيَ إِلاَّ عَلَى اللهِ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيد

Maksudnya : Balasan yang sebenar untukku hanyalah dari Allah dan Dia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (Surah Sabak ayat 47) .


________________

Rujukan :

1. Miskat al-Mashobih, At-Tibrizi
2. Mirqaat al-Mafaatih, Mulla 'Ali al-Qari
3. Syarah Misykat al-Mashobih : Kitab al-Ilm, Abu Naaeilah



      


Sementara tunggu Pilihanraya

sementara menunggu Pilihanraya.

Istikharohlah wahai Mahasiswa Malaysia
pohon petunjuk dari Allah
supaya ditunjukkan siapa dari mereka 
yang mampu menggalas amanah

Istisyaroh jangan pula ditinggalkan
Bincanglah bersama untuk kemashlahatan
Kenalilah mereka untuk kebaikan
Lihatlah dari apa diperkatakan
Sesuaikah untuk di'amalkan
al-Qowiy dan al-Amin diutamakan

Aku sendiri pun menjadi buntu
Memilih setiap jawatan seorang satu
Kerana semua punyai kelebihan
Alangkah baiknya tiada pengundian

Tidaklah apa yang kukenali dari mereka(Ikhwan)
Melainkan semuanya dipenuhi kebaikan
Dari 'ilmu agama hinggalah adab dalam kehidupan
Antara mereka semuanya pernah kongsikan

Bersangka baiklah wahai bakal pemimpin
dengan Allah yang memiliki sifat Ar-Rahman
Bahawasanya amanah bukan satu mainan
Maka, jadikan ini sebagai satu jalan
Untuk engkau lebih dekat dengan Tuhan
Juga sebagai satu wasilah
Untuk engkau lakukan perubahan


Tulisan ini bukanlah untuk kemashyuran
Hanya sebagai satu peringatan
Kerana aku inginkan
Tatkala pada saat aku dilupakan
Oleh makhluk yang bernama syaitan
Engkau boleh berikan aku ucapan
Seperti mana aku perlukan
Dan
Supaya pada hari engkau naik dihadapan
Dengarlah apa yang hendak kami rintihkan

Buanglah dari bayangan engkau
Agar aku dapat bersamamu
Maaf jika aku sudah terperasan
Lebih baik dari leburnya harapan
Kerana aku punyai sedikit pengalaman
Ingin dijadikan sebagai pengajaran
Moga hidupku menjadi lebih aman

Inginku lihat perubahan dalam persatuan
Mendidik dan menjaga orang bawahan
Dengan penuh rasa cinta dan kebajikan
Yang diajar akan keterbukaan
Yang bersifat kesederhanaan
Yang kosong dari pembodohan
Yang penuh dengan pembangunan insan

20-May-2014 . 

Segulung Nasihat

Malam yang terakhir bersama Ustaz Hadi. Beliau antara pelajar Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian dari peringkat Ijazah hinggalah ke PhD di Morocco. Beliau juga antara pelajar Malaysia yang telah berkahwin dengan orang Maghribi. Alhamdulillah, sekarang sudah dianugerahkan 3 orang cahaya mata.

           Tidak lama aku sempat bersama beliau. Berbeza dengan senior-senior lain. Hampir 2 tahun hubungan mereka di Kenitra bersama Ustaz Hadi. Biarpun setengah tahun bersama ustaz. Banyak ‘ilmu yang diperolehi. Dari pelajaran adab hinggalah pengetahuan agama. 

Malam terakhir sebelum beliau balik ke Malaysia. Beliau menziarahi rumah kami untuk kali terakhir. Malam itu, kami masih sempat bergurau senda, bertukar senyuman dan saling ramah mesra.

Di akhir slot pertemuan kami, beliau nasihatkan beberapa perkara untuk kami. Dan secara ‘amnya sesuai untuk semua mahasiswa Malaysia. Ringkasnya penulis kongsikan dengan sedikit olahan bahasa. insyaAllah tidak lari dari apa yang hendak ustaz sampaikan. :D

-          -          Untuk Muktamar, mesyuarat dengan sebaik mungkin. Jangan mudah-mudah untuk tukar perlembangan. Ia sesuatu perkara yang besar. Fikirkan untuk kebaikan bersama dan jangka masa juga. Carilah kesamaan untuk sama-sama kita bersatu. Bukanlah pebezaan itu untuk dimusuhi. Jauh sekali untuk berbalah. Malah, untuk saling melengkapi. Mengapa sedikit perbezaan itu membuat kita jauh jaraknya? Hingga susah untuk bersua dan bercerita. Bersepakatlah dalam perkara ma’ruf dan mencegah yang munkar. Islam itu mengajarkan perpaduan.

-          -        Ambil peluang yang hadir dihadapan kamu ini untuk belajar bersungguh-sungguh. Rancang pembelajaran kamu sebaik mungkin. Ustaz dulu masa ijazah, sudah apa planning belajar dan kahwin bila. Jangan ponteng kelas (ada yang terasa). Hadirkan diri di saf pertama dalam kelas supaya ustaz kenal kamu. Dekatilah mereka. Mungkin disitu terdapatnya berkat ‘ilmu yang jarang orang perolehi. Hormatilah mereka. Pelajari adab-adab dari mereka.

-          -        Tidak salah untuk kamu pergi melancong ke eropah jika mampu. Pastikan jaulah kamu itu bermanfa’at. Jangan habiskan masa kamu dengan perkara yang sia-sia. Dulu bukan ustaz tak mahu jaulah ke eropah. Tapi, ustaz simpan untuk kahwin sebab itu lagi baik’. (sentap sekejap)

-        -            Jagalah solat. Jemaah di Masjid. Solat Dhuha. Kalau kamu yang belajar tak ‘amalkan. Nanti nak ajak masyarakat ? Sentiasalah bersedekah kepada mereka. Jangan pernah cuba timbulkan rasa sangka buruk kepada mereka peminta sedekah. Kalau tidak mampu untuk bagi duit pun. Pastikan ada do’a untuk mereka ketika berselisih ataupun di waktu lain. Sekadar pun terlintas dalam hati. Ni’mat rezeki yang kamu ada sekarang ini belum tentu kekalnya. Allah boleh tarik hanya dengan sekelip mata.

-         -             Ingat !!! baliknya kamu ke Malaysia. Masyarakat akan memandang kamu sebagai ustaz. Kamu berada di mimbar seorang jurucakap kepada agama. Jangan ambil mudah dengan perkara ini. Jadilah contoh terbaik untuk mereka. Yang tidak tahu jawab tidak tahu. Yang benar sebarkan untuk manfa’at bersama. Jangan memandai atau buat-buat tahu akan perkara-perkara yang kita tidak tahu. Sentiasalah menambah ‘ilmu dan meng’amalkannya.

-          -            Malam ni ustaz nasihat kamu. Nanti bila-bila, masa ustaz lupa kamu pula yang nasihatkan. Begitulah kehidupan. Hidupkan ‘amalan nasihat-menasihati.

Paling baik, ustaz ‘tembak’ kami di akhir kalam beliau. ‘ni, nasihat panjang-panjang ni, esok Subuh lewat jugak’ ......

Inilah penutupan yang paling sentap untuk ‘kita’. Mungkin. 

Kenagan bersama Ustaz Hadi pada hari Munaqosyah Dukturoh beliau.

Cerita semalam

Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk menghadiri kelas mingguan bersama as-Sheikh Sa’id al-Kamali di Masjid Sunnah, Rabat. Rutin pelajar-pelajar Morocco yang tinggal di Rabat mengisi masa mereka dengan kuliah-kuliah di sini. Seperti biasa kuliah as-Sheikh, bilangan pendengar berlainan sungguh dengan kuliah lain.

       
Pengajian semalam diteruskan dengan penjelasan hadis minggu lepas dan disambung dengan 2,3 hadis baru untuk minggu ini. Tidak aku berniat untuk menulis semula apa yang dikatakan oleh as-Sheikh. Namun, satu nasihat yang dikongsikan oleh as-Sheikh tatkala beliau sedang menjelaskan I’rab Hadis. Beliau berhenti seketika seraya menasihati.

          Beliau nasihatkan kepada penuntut ‘ilmu syari’ah untuk mempelajari Bahasa ‘Arab. Bahkan, beliau selalu mengulangi nasihat ini. Bagaimana jika kita ingin memahami agama tanpa mempelajari Bahasa ‘Arab. Bahasa al-Quran dan juga al-Hadis. 2 sumber utama agama yang Mulia ini.

          Pada hemat penulis, walau apapun bidang yang dipelajari sama ada Pengajian Islam atau Bahasa ‘Arab. Tetap ! kita perlu untuk kuasai Bahasa ‘Arab. Tiada alasan. Noktah. Ia bahasa umat Islam. Hatta bangsa 'Arab bertungkus lumus mempelajarinya. Sedang kita keturunan Melayu memandang remeh bahasa 'Arab. Memang tidak patut. 

‘Ulamak yang dipercayai dalam agama Islam berterusan mengeluarkan makna-makna ayat al-Quran, menggali perkara-perkara yang halus darinya, mendalami makna yang sukar difahami sampai kepada titik penghabisannya. Itulah al-Quran pembawa kepada banyak wajah bacaannya. Ini juga menunjukkan bukti tentang keautoritian al-Quran dan mengukuhkan lagi ke’ajaiabannya. Seperti kata sya’ir :

كَالبَدْرِ مِنْ حيث التَفَتَّ رأيتَه   يهدي إلى عينيك نورا ثاقبا
كالشمس في كبد السماء وضوءها   يغشى البلادَ مشارقا ومغاربا

‘Seperti bulan dari mana kamu berpaling melihatnya, yang memberikan kepada dua mata kamu cahaya yang bisa menembusi’
Seperti matahari di tengah-tengah langit dan sinarannya, yang meliputi pada Negara di kawasan-kawasan timur dan barat’ (Muqoddimah I'rob al-Quran al-Karim wa bayanuhu - al-Ustaz ad-Darwish)

Pengajian diteruskan sehingga as-Sheikh menutup majlisnya dengan kaffarah (pembersih) majlis. Do’a ini seperti mana diriwayatkan :

سُبْحَانَكَ اللهم وبحمدك, أشهد أن لا إله إلا أنت أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيهِ

“Maha suci Engkau Ya Allah, dengan memujiM, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu”.(Ashhab as-Sunan. Lihat at-Tirmizi 3/153.

Telah tsabit dari ‘Aisyah r.a ‘anha katanya : “setiap kali Rasulullah s.a.w duduk di suatu tempat, apabila selesai membaca al-Quran dan selesai melakukan solat, Baginda mengakirinya dengan membaca kalimah (do’a) ini “. An-Nasai dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah no.308, Dr. Farouq Hammadah mantashihnya dalam tahqiq kitab in, 273.

         Sebelum semua orang beredar, as-Sheikh memberitahu bahawasanya ada seorang lelaki yang telah diberi hidayah oleh Allah akan melafazkan syahadahnya dihadapan jama’ah yang hadir sebagai saksi. Orang Amerika. Dia dibawakan kehadapan dan beliau melafazkan syahadah bersaksikan kami.

Selesai itu, aku melihat orang ramai mengerumuni beliau. Sambil bersalam dan memeluknya. Ucapan juga mungkin diberikan. Aku hanya memerhati. Seingat aku, inilah kali pertama secara langsung melihat majlis sebegini.

         Aku terkedu dan memikirkan seketika. Betapa untungnya beliau. Diberikan hidayah oleh Tuhan. Seumpama bayi yang baru lahir. Semua dosa-dosanya telah lalu diampunkan.

Oh, alangkah indahnya. Bahagianya dia. Tenteramnya dia. Tanpa ada sebarang dosa dan noda yang mencemari.

Suara aku tersekat untuk berkata. Merenung nasib diri tanpa ada dusta. 

Sedang kita bergembira dengan hidayah yang Allah berikan kepadanya. Fikirkan juga untuk diri sendiri. Berdo'alah juga supaya sentiasa diberi hidayah. 
Sudah tiada apa yang ingin aku sampaikan. Cukuplah untuk kita sama-sama berfikir. Muhasabah kembali. Saban hari menambah dosa. Bagaimana pula dengan istighfar dan taubat kita?
  

Jangan Sedih : Perbanyakkanlah Istighfar

Jangan bersedih : Perbanyakkanlah Istighfar kerana Allah Maha Pengampun .

‘Ibnu Shubayh berkata :

شَكَا رَجُلٌ إِلَى الْحَسَنِ الْجُدُوبَةَ فَقَالَ لَهُ: اسْتَغْفِرِ اللَّهَ. وَشَكَا آخَرُ إِلَيْهِ الْفَقْرَ فَقَالَ لَهُ: اسْتَغْفِرِ اللَّهَ. وَقَالَ لَهُ آخَرُ. ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي وَلَدًا، فَقَالَ لَهُ : اسْتَغْفِرِ اللَّهَ. وَشَكَا إِلَيْهِ آخَرُ جَفَافَ بُسْتَانِهِ، فَقَالَ لَهُ: اسْتَغْفِرِ اللَّهَ. فَقُلْنَا لَهُ فِي ذَلِكَ؟ فَقَالَ: مَا قُلْتُ مِنْ عِنْدِي شَيْئًا، إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ فِي سُورَةِ" نُوحٍ": اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كانَ غَفَّاراً. يُرْسِلِ السَّماءَ عَلَيْكُمْ مِدْراراً . وَيُمْدِدْكُمْ بِأًمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا .

"Ada seorang lelaki telah mengadu kepada Al-Hasan Al-Bashri tentang musim kering, maka Al-Hasan berkata kepadanya, "Beristighfarlah !". Lalu ada lelaki yang lain mengadu kepadanya tentang kemiskinannya. Maka Al-Hasan berkata, "Beristighfarlah !". Lalu datang lelaki yang lain pula seraya berkata, "Do’akanlah untukku agar Allah menganugerahkan kepadaku anak". Maka Al-Hasan berkata kepadanya, "Beristighfarlah !". Lalu datang lelaki yang lain yang mengeluhkan akan kebunnya yang kering. Maka Al-Hasan berkata kepadanya. "Beristighfarlah !".

Kamipun berkata kepadanya tentang jawapannya tersebut, maka Al-Hasan berkata, "Aku sama sekali tidak berpendapat dengan pendapat peribadi, sesungguhnya Allah berfirman dalam surat Nuh :

‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).’

(Kisah ini disebutkan oleh Al-Qurthubi dalam tafsirnya pada tafsir surah Nuh, demikian juga An-Nasafi dan Fakhru ar-Razi dalam tafsir mereka).

Perbanyakkanlah Istighfar agar anda mendapat jalan keluar dari malasah, ketenangan dalam kehidupan, rezeki yang halal, zuriat yang sholeh serta hujan yang lebat.

Firman Allah dalam surah Hud ayat ke-3 : 

وَأَنِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُمَتِّعۡكُم مَّتَٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمّٗى وَيُؤۡتِ كُلَّ ذِي فَضۡلٖ فَضۡلَهُۥۖ
3. Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu , kemudian hendaklah kamu rujuk kembali ta'at kepadaNya; supaya Dia memberi kamu ni'mat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang sholeh) akan pahala kelebihannya itu

Dalam sebuah hadis disebut :

منْ أكثرَ منَ الاستغفارِ، جعلَ اللهُ لهُ منْ كلِّ همِّ فرجًا، و منْ كلِّ ضيقٍ مخرجًا، و رزقَهُ منْ حيثِ لا يحتسبْ
الراوي: عبدالله بن عباس المحدث: السيوطي المصدر: الجامع الصغير - الصفحة أو الرقم:8508
خلاصة حكم المحدث: صحيح
‘Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar untuk setiap dukacita dan akan membuka pintu keluar dari setiap kesempitan dan rezekinya dari jalan yang tidak terlintas dari hatinya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

"Semua anak Adam itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat" 
(HR Ibnu Maajah no 4241, dihasankan oleh Syaikh Al-Albani)

Dalam sebuah hadits al-Qudsi, Allah berfirman,

يا عبادي! إنَّكم تُخطئون بالليل والنهار، وأنا أغفرُ الذنوبَ جميعاً، فاستغفروني أغفرْ لكم

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kalian berdosa siang dan malam, dan Aku maha mengampuni dosa, maka mintalah ampun kepadaKu niscaya Aku akan mengampuni kalian" (HR Muslim)

Duhai insan yang berdosa, wajibkanlah  keatas kamu untuk melazimi Sayyidul Istighfar. Jadikanlah sebagai zikir di kala waktu pagi dan petang.

Syaddad bin Aus radiallahu 'anhu meriwayatkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ
Sayyidul Istighfar ialah engkau membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ ،
Ya Allah, engkau Tuhan ku, tiada yang layak disembah selain engkau.

خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ ،
Engkau telah menciptakan aku, dan aku hamba Mu.

وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ،
Aku berusaha untuk memenuhi sumpah dan janji ku semampu kemampuanku.

أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ،
Aku berlindung dengan Mu daripada kejahatan perbuatan ku.

أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ ،
Aku mengakui dengan segala nikmat Mu ke atas ku.

وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي
Aku mengakui kepada Mu tentang dosa ku.

فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa-dosa selain Engkau.

قَالَ : وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ ، .

Sesiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum masuknya malam, maka dia adalah ahli syurga.

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
Sesiapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal sebelum masuknya waktu siang, maka dia adalah ahli syurga.


صحيح البخاري»كِتَاب الدَّعَوَاتِ»بَاب أَفْضَلِ الِاسْتِغْفَارِ
[Sahih al-Bukhari, Kitab Doa, Bab Kelebihan Istighfar, hadis no: 5858]




Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.

Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat ke-33 : 

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ ٣٣

dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

Rujukan : La Tahzan, as-Sheikh 'Aidh al-Qarni, Cetakan Maktabah al-'Abaikan.

Back to Top