Cerita semalam

Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk menghadiri kelas mingguan bersama as-Sheikh Sa’id al-Kamali di Masjid Sunnah, Rabat. Rutin pelajar-pelajar Morocco yang tinggal di Rabat mengisi masa mereka dengan kuliah-kuliah di sini. Seperti biasa kuliah as-Sheikh, bilangan pendengar berlainan sungguh dengan kuliah lain.

       
Pengajian semalam diteruskan dengan penjelasan hadis minggu lepas dan disambung dengan 2,3 hadis baru untuk minggu ini. Tidak aku berniat untuk menulis semula apa yang dikatakan oleh as-Sheikh. Namun, satu nasihat yang dikongsikan oleh as-Sheikh tatkala beliau sedang menjelaskan I’rab Hadis. Beliau berhenti seketika seraya menasihati.

          Beliau nasihatkan kepada penuntut ‘ilmu syari’ah untuk mempelajari Bahasa ‘Arab. Bahkan, beliau selalu mengulangi nasihat ini. Bagaimana jika kita ingin memahami agama tanpa mempelajari Bahasa ‘Arab. Bahasa al-Quran dan juga al-Hadis. 2 sumber utama agama yang Mulia ini.

          Pada hemat penulis, walau apapun bidang yang dipelajari sama ada Pengajian Islam atau Bahasa ‘Arab. Tetap ! kita perlu untuk kuasai Bahasa ‘Arab. Tiada alasan. Noktah. Ia bahasa umat Islam. Hatta bangsa 'Arab bertungkus lumus mempelajarinya. Sedang kita keturunan Melayu memandang remeh bahasa 'Arab. Memang tidak patut. 

‘Ulamak yang dipercayai dalam agama Islam berterusan mengeluarkan makna-makna ayat al-Quran, menggali perkara-perkara yang halus darinya, mendalami makna yang sukar difahami sampai kepada titik penghabisannya. Itulah al-Quran pembawa kepada banyak wajah bacaannya. Ini juga menunjukkan bukti tentang keautoritian al-Quran dan mengukuhkan lagi ke’ajaiabannya. Seperti kata sya’ir :

كَالبَدْرِ مِنْ حيث التَفَتَّ رأيتَه   يهدي إلى عينيك نورا ثاقبا
كالشمس في كبد السماء وضوءها   يغشى البلادَ مشارقا ومغاربا

‘Seperti bulan dari mana kamu berpaling melihatnya, yang memberikan kepada dua mata kamu cahaya yang bisa menembusi’
Seperti matahari di tengah-tengah langit dan sinarannya, yang meliputi pada Negara di kawasan-kawasan timur dan barat’ (Muqoddimah I'rob al-Quran al-Karim wa bayanuhu - al-Ustaz ad-Darwish)

Pengajian diteruskan sehingga as-Sheikh menutup majlisnya dengan kaffarah (pembersih) majlis. Do’a ini seperti mana diriwayatkan :

سُبْحَانَكَ اللهم وبحمدك, أشهد أن لا إله إلا أنت أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيهِ

“Maha suci Engkau Ya Allah, dengan memujiM, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu”.(Ashhab as-Sunan. Lihat at-Tirmizi 3/153.

Telah tsabit dari ‘Aisyah r.a ‘anha katanya : “setiap kali Rasulullah s.a.w duduk di suatu tempat, apabila selesai membaca al-Quran dan selesai melakukan solat, Baginda mengakirinya dengan membaca kalimah (do’a) ini “. An-Nasai dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah no.308, Dr. Farouq Hammadah mantashihnya dalam tahqiq kitab in, 273.

         Sebelum semua orang beredar, as-Sheikh memberitahu bahawasanya ada seorang lelaki yang telah diberi hidayah oleh Allah akan melafazkan syahadahnya dihadapan jama’ah yang hadir sebagai saksi. Orang Amerika. Dia dibawakan kehadapan dan beliau melafazkan syahadah bersaksikan kami.

Selesai itu, aku melihat orang ramai mengerumuni beliau. Sambil bersalam dan memeluknya. Ucapan juga mungkin diberikan. Aku hanya memerhati. Seingat aku, inilah kali pertama secara langsung melihat majlis sebegini.

         Aku terkedu dan memikirkan seketika. Betapa untungnya beliau. Diberikan hidayah oleh Tuhan. Seumpama bayi yang baru lahir. Semua dosa-dosanya telah lalu diampunkan.

Oh, alangkah indahnya. Bahagianya dia. Tenteramnya dia. Tanpa ada sebarang dosa dan noda yang mencemari.

Suara aku tersekat untuk berkata. Merenung nasib diri tanpa ada dusta. 

Sedang kita bergembira dengan hidayah yang Allah berikan kepadanya. Fikirkan juga untuk diri sendiri. Berdo'alah juga supaya sentiasa diberi hidayah. 
Sudah tiada apa yang ingin aku sampaikan. Cukuplah untuk kita sama-sama berfikir. Muhasabah kembali. Saban hari menambah dosa. Bagaimana pula dengan istighfar dan taubat kita?
  

Leave reply

Back to Top