November 2012

Hijrah satu tuntutan




بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه, أما بعد



Pengalaman seorang hamba itu dalam mengharungi mehnah dan tribulasi di pentas da'wah ini sungguh mengasyikkan. Bagi yang pernah melaluinya, tahulah bagaimana perasaan dan pengalaman itu. Tapi, tidak cukup sebenarnya untuk digambarkan dalam tulisan yang ringkas ini. Seorang insan yang baru dapat berpijak di bumi yang nyata ini setelah dia berubah dengan mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT. Hidupnya berubah dari  meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya kepada sinar nur Ilahi. Manusia tidak menyangka yang terlalu banyak perkara yang berlaku setelah dia menemui jalan untuk pulang ke pangkuan Tuhan. Itulah kehebatan dan keindahan yang terselit di sebalik hijrah seseorang insan. 

Manusia memerlukan perubahan. Walaupun diri mereka tidak ada keinginan untuk berubah. Berubah dari keburukan kepada kebaikan. Dari kemunkaran kepada ketaatan. Mungkin juga ada yang sebaliknya. Tapi, bukan golongan itu yang ingin kita sertai. Manusia sering beralasan bukan mudah untuk berubah. Ya, ada benar dakwaan itu untuk difikirkan. Namun, sukar untuk bertaubat itu, jauh lebih mudah dari tidak bertaubat. Cukupkah dengan bersenang sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang terlalu istimewa. Tidak terjangkau 'aqal ini untuk memikirkannya. Hanya percaya dan yaqin dengan janji-Nya yang tidak akan sama sekali mendustainya. Mana mungkin orang yang betul-betul mencariNya, betul-betul ikhlas untuk bertaubat, Allah abaikan usahanya. Firman-Nya : 

69. dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Al-'Ankabut)

Misi Kembara Mencari

Setelah itu, manusia akan diuji akan keimanannya. Sejauh mana pengakuan itu. Adakah sekadar lafaz di mulut. Kerana itu, ujian dan cabaran inilah akan ditempuhi untuk menilai iman yang tersemat di jiwa sanubari. Allah berkata lagi di awal surah al-'Ankabut : 
2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Iman itu ada kalanya naik. Ada akalanya turun. Begitulah 'i'tiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Soal bagaimana kita perlu dan mesti menjaga iman itu supaya hidup ini sentiasa mengingati PenciptaNya. Semuanya telah di ajarkan oleh 'ulama yang mengambil pengajaran dari kehidupan para sahabat-sahabat Nabi رضي الله عنهم . Merekalah yang betul- betul memahami selok-belok tentang sunnah Nabi serta Islam itu sendiri. 

Peng'i'tirfan itu telah digambarkan dalam AlQuran dan pengakuan Nabi s.a.w. Tiada alasan sebenarnya untuk kita berpaling tadah dari mengikuti jejak langkah mereka serta 'ulamak yang berjalan di atas landasan yang sama. Pentingnya para Salaf As-Soleh dalam kehidupan ini. 

Hijrah itu bemula apabila insan ini mula ingin menyebarkan kebaikan yang dirasai dirinya kepada masyarakat yang hidup sebumbung dan sekerjaya dengannya. Semua itu bermula setelah dia mengenali matlamat dan hala tuju kehidupan yang penuh tipu daya ini. Matlamat itu sudah pasti. Hanya perlu mengawal diri agar tidak jatuh dari landasan ini. Kalaulah silap landasan, nescaya sia-sia juga apa diusahakan.

Bagi yang pernah melalui ranjau perubahan dalam kehidupan ini pasti tidak bisa untuk diterjemahkan melalui cara ini. Umpama kemanisan iman yang dilalui oleh hamba yang merasainya, bukan mudah untuk dibacarakan melalui penulisan. 

JEJAKI SIRAH

Di awal da'wah Nabi, penekanan 'Aqidah yang diutamakan serta didahulukan. Tempoh 13 tahun yang cukup untuk sesuatu perubahan berlaku. Memerlukan strategi yang mampan dan ampuh bagi merobohkan benteng jahiliyyah manusia ketika itu. Tentang hukum-hakam ia bermula setelah hijrah berlaku. Tahukah, bagaimana cara Nabi gunakan untuk masuk dengan masyarakat 'Arab Jahiliyyah yang begitu rosak dan musnah. Nabi bermula dengan Akhlaq. Satu cara yang ramai orang tertinggal yang wajib dipraktikkan oleh umat Muhammad s.a.w pada hari ini.

Jelasnya, da'wah ini melibatkan sikap baik diri yang dipamerkan, tutur kata yang penuh kelembutan, diiringi rasa cinta dan disertai dengan perasaan kasihan belas kepada mereka. Secara ringkasnya, segala akhlak mulia dan berbuat baik kepada mereka.

Begitu juga seseorang penda'wah wajib meneliti sirah perjuangan Nabi dalam mengubah sesebuah diri dan masyarakat. Kata Hamka, "Islam telah berjaya membawa satu revolusi yang paling besar kepada jiwa manusia"

Ramai yang menyangka hidup hendaklah mengikut trend semasa. Perubahan yang dilakukan biarlah selari dengan kehendak dunia yang saban hari tidak leka dari kemajuan. Malah, insan yang ingin ubah perjalanan hidupnya. Terkesan dengan pujangga ini. Islam tidak meyanggah perubahan ini. Tapi, agama itu mesti yang diutamakan dan teratas. Bermaksud segala bentuk perbuatan dan percakapan tidak berubah dari apa yang ditetapkan oleh syari'at.

Ramai yang menyangka bukan senang untuk buat perubahan. Ya, memang sukar. Tapi, kamu fikir senang untuk  masuk syurga yang indah dan abadi. Kerana itu perubahan memerlukan masa, pengorbanan serta ujian yang wajib dihadapi dari Allah. Allah nyatakan dalam surah Al-Baqoroh, Juz ke-2.


214. Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).



Ujian itu bukan kita yang meminta. Ujian datang dengan heterogen rupa dan bentuk. Tujuannya untuk manusia sedar dan ingat apa yang dia telah lupa, ubah apa yang salah dan perbaiki amalan serta menghapuskan dosa dengan menambahkan pahala. Begitu hebat sungguh ujian yang dilanda generasi terdahulu. Cukuplah ini sebagai muhasabah untuk kita semua. Sempana awal tahun Hijrah ini. Cubalah untuk mengubah akhlak kita selari dengan apa yang di ajarkan oleh Islam agar kecintaan terhadap Allah dan Nabi kian subur dan tidak mudah pudar akibat dari hasutan musuh. Nasihat ini untuk diri yang menulis dan sahabat sekalian..

Salam Maal Hijrah 1434...kita semakin tua.



Back to Top