2012

Hijrah satu tuntutan




بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه, أما بعد



Pengalaman seorang hamba itu dalam mengharungi mehnah dan tribulasi di pentas da'wah ini sungguh mengasyikkan. Bagi yang pernah melaluinya, tahulah bagaimana perasaan dan pengalaman itu. Tapi, tidak cukup sebenarnya untuk digambarkan dalam tulisan yang ringkas ini. Seorang insan yang baru dapat berpijak di bumi yang nyata ini setelah dia berubah dengan mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT. Hidupnya berubah dari  meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya kepada sinar nur Ilahi. Manusia tidak menyangka yang terlalu banyak perkara yang berlaku setelah dia menemui jalan untuk pulang ke pangkuan Tuhan. Itulah kehebatan dan keindahan yang terselit di sebalik hijrah seseorang insan. 

Manusia memerlukan perubahan. Walaupun diri mereka tidak ada keinginan untuk berubah. Berubah dari keburukan kepada kebaikan. Dari kemunkaran kepada ketaatan. Mungkin juga ada yang sebaliknya. Tapi, bukan golongan itu yang ingin kita sertai. Manusia sering beralasan bukan mudah untuk berubah. Ya, ada benar dakwaan itu untuk difikirkan. Namun, sukar untuk bertaubat itu, jauh lebih mudah dari tidak bertaubat. Cukupkah dengan bersenang sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang terlalu istimewa. Tidak terjangkau 'aqal ini untuk memikirkannya. Hanya percaya dan yaqin dengan janji-Nya yang tidak akan sama sekali mendustainya. Mana mungkin orang yang betul-betul mencariNya, betul-betul ikhlas untuk bertaubat, Allah abaikan usahanya. Firman-Nya : 

69. dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Al-'Ankabut)

Misi Kembara Mencari

Setelah itu, manusia akan diuji akan keimanannya. Sejauh mana pengakuan itu. Adakah sekadar lafaz di mulut. Kerana itu, ujian dan cabaran inilah akan ditempuhi untuk menilai iman yang tersemat di jiwa sanubari. Allah berkata lagi di awal surah al-'Ankabut : 
2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Iman itu ada kalanya naik. Ada akalanya turun. Begitulah 'i'tiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Soal bagaimana kita perlu dan mesti menjaga iman itu supaya hidup ini sentiasa mengingati PenciptaNya. Semuanya telah di ajarkan oleh 'ulama yang mengambil pengajaran dari kehidupan para sahabat-sahabat Nabi رضي الله عنهم . Merekalah yang betul- betul memahami selok-belok tentang sunnah Nabi serta Islam itu sendiri. 

Peng'i'tirfan itu telah digambarkan dalam AlQuran dan pengakuan Nabi s.a.w. Tiada alasan sebenarnya untuk kita berpaling tadah dari mengikuti jejak langkah mereka serta 'ulamak yang berjalan di atas landasan yang sama. Pentingnya para Salaf As-Soleh dalam kehidupan ini. 

Hijrah itu bemula apabila insan ini mula ingin menyebarkan kebaikan yang dirasai dirinya kepada masyarakat yang hidup sebumbung dan sekerjaya dengannya. Semua itu bermula setelah dia mengenali matlamat dan hala tuju kehidupan yang penuh tipu daya ini. Matlamat itu sudah pasti. Hanya perlu mengawal diri agar tidak jatuh dari landasan ini. Kalaulah silap landasan, nescaya sia-sia juga apa diusahakan.

Bagi yang pernah melalui ranjau perubahan dalam kehidupan ini pasti tidak bisa untuk diterjemahkan melalui cara ini. Umpama kemanisan iman yang dilalui oleh hamba yang merasainya, bukan mudah untuk dibacarakan melalui penulisan. 

JEJAKI SIRAH

Di awal da'wah Nabi, penekanan 'Aqidah yang diutamakan serta didahulukan. Tempoh 13 tahun yang cukup untuk sesuatu perubahan berlaku. Memerlukan strategi yang mampan dan ampuh bagi merobohkan benteng jahiliyyah manusia ketika itu. Tentang hukum-hakam ia bermula setelah hijrah berlaku. Tahukah, bagaimana cara Nabi gunakan untuk masuk dengan masyarakat 'Arab Jahiliyyah yang begitu rosak dan musnah. Nabi bermula dengan Akhlaq. Satu cara yang ramai orang tertinggal yang wajib dipraktikkan oleh umat Muhammad s.a.w pada hari ini.

Jelasnya, da'wah ini melibatkan sikap baik diri yang dipamerkan, tutur kata yang penuh kelembutan, diiringi rasa cinta dan disertai dengan perasaan kasihan belas kepada mereka. Secara ringkasnya, segala akhlak mulia dan berbuat baik kepada mereka.

Begitu juga seseorang penda'wah wajib meneliti sirah perjuangan Nabi dalam mengubah sesebuah diri dan masyarakat. Kata Hamka, "Islam telah berjaya membawa satu revolusi yang paling besar kepada jiwa manusia"

Ramai yang menyangka hidup hendaklah mengikut trend semasa. Perubahan yang dilakukan biarlah selari dengan kehendak dunia yang saban hari tidak leka dari kemajuan. Malah, insan yang ingin ubah perjalanan hidupnya. Terkesan dengan pujangga ini. Islam tidak meyanggah perubahan ini. Tapi, agama itu mesti yang diutamakan dan teratas. Bermaksud segala bentuk perbuatan dan percakapan tidak berubah dari apa yang ditetapkan oleh syari'at.

Ramai yang menyangka bukan senang untuk buat perubahan. Ya, memang sukar. Tapi, kamu fikir senang untuk  masuk syurga yang indah dan abadi. Kerana itu perubahan memerlukan masa, pengorbanan serta ujian yang wajib dihadapi dari Allah. Allah nyatakan dalam surah Al-Baqoroh, Juz ke-2.


214. Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).



Ujian itu bukan kita yang meminta. Ujian datang dengan heterogen rupa dan bentuk. Tujuannya untuk manusia sedar dan ingat apa yang dia telah lupa, ubah apa yang salah dan perbaiki amalan serta menghapuskan dosa dengan menambahkan pahala. Begitu hebat sungguh ujian yang dilanda generasi terdahulu. Cukuplah ini sebagai muhasabah untuk kita semua. Sempana awal tahun Hijrah ini. Cubalah untuk mengubah akhlak kita selari dengan apa yang di ajarkan oleh Islam agar kecintaan terhadap Allah dan Nabi kian subur dan tidak mudah pudar akibat dari hasutan musuh. Nasihat ini untuk diri yang menulis dan sahabat sekalian..

Salam Maal Hijrah 1434...kita semakin tua.



Makna Sebuah kehidupan


بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاهأما بعد


Kehidupan adalah satu perjalanan. Maka, untuk meneruskan perjalanan ini, ia memerlukan satu garis panduan dan pedoman yang dapat menunjukkan hala tuju yang benar. Manusia akan letih jika berjalan tanpa hala tuju dan mengikuti hala tuju yang salah.

Kebahagian hanya terdapat pada hati rohani yang bersih yang memahami tujuan hidup lalu menjalaninya dengan penuh fokus dan istiqomah terhadap matlamat tersebut. Seseorang yang tidak fokus hanya akan membuang waktunya lalu menyesali pembaziran tersebut setelah bertemu hari kemudian.

Hidup tanpa tujuan adalah kepalsuan. Manusia kekosongan tanpa mengetahui apa yang ingin dicari dan dicapai dalam perjalanan hidup ini.Sedangkan, kematian bukanlah penghujung perjalanan, ia adalah permulaan kehidupan yang sebenar. Maka, sesiapa yang inginkan kehidupan yang sejahtera setelah kematian, hendaklah dia melaksanakan tugas sebagai hamba selagi masih meniti usia kehidupan.

Jalan  kehidupan yang penuh dengan cerita.


Ke arah mencarinya...

Sesungguhnya manusia akan buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah perjalanan, bagaiamana pula dia tidak buntu tanpa mengetahui arah tujuan sebuah kehidupan?

Soal “dari mana”, “ke mana” dan “kenapa” tentang kewujudan dan kehidupan ini merupakan di antara persoalan asasi dalam benak pemikiran manusia yang inginkan sebuah makna bagi kehidupannya. Tanpa jawapan yang tepat dan memuaskan terhadap persoalan tadi, maka jadilah kehidupan ini “kosong” sejak dari permulaaan hingga pengakhirannya.

Catatan sejarah telah memperlihatkan pelbagai bentuk “jawapan” menusia terhadap persoalan asasi ini, sama ada merujuk kepada aqalnya semata- mata atau merujuk kepada sumber lain. Rujukan kepada sumber lain bermaskud bukan dari dirinya sendiri, sama ada berpandukan wahyu dari Allah melalui utusan Rasul-Nya atau berteraskan dari nenek moyag mereka.
Ciri terpenting untuk menentukan makna kehidupan ini mestilah suatu yang tepat dengan hakikat yang sebenar, bukan sekadar khayaan, persepsi dan agakan.

Menghormati ‘Aqal

Kebanyakan umat Islam pada hari ini tidak meghormati dan menggunakan ‘aqal fikiran dengan tepat sepertimana yang disarakan oleh Al-Quran. Menghormati ‘aqal ini bukan sekadar menginsafi ia adalah anugerah Allah kepada makhluk manusia dan tidak diberikan kepada makhluk lain. Tetapi, kita hendaklah menggunakannya dengan tepat, meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, dan memaksimumkan penggunaannya.

Di dalam Al-Quran, kita dapati perkatan ‘aqal atau perbuatan yang berkaitan dengannya seperti berfikir banyak digunakan. Bahkan berkali-kali Allah nyatakan. Jika kita perhatikan, maka terlintas mengapa Allah mengulanginya berkali-kali dan sudah pasti ada tujuan yang tersurat dan tersirat di sebalik pengulangan tersebut. Allah berfirman dalam di awal surah Yusuf yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai (Al-Quran) dengan bahasa ‘Arab semoga kamu berfikir(menggunakan ‘aqal untuk memahaminya)... (Yusuf : 2)

Jelas menunjukkan, kita dianjurkan untuk belajar dan memahami bahasa ‘Arab yang telah dipilih oleh Allah sebagai bahasa Al-Quran.

Contoh lain, Allah berfirman dalam surah al-A'raf :
والدار الأخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون
 Maksudnya : Dan negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa, apakah kamu tidak berfikir..(al-A'raf : 169)

Di Bawah Naungan ALQURAN...

"Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.



Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi ni’mat  yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.



Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?



Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak.” (petikan Muqaddimah Tafsir Fi Zhilalil Quran)


Inilah ucapan bagi insan yang betul-betul memahami tujuan dan erti sebuah kehidupan. Mereka akan sentiasa memikirkan apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan kerana manusia sering bertembung dengan perkara yang mahu dan perlu dilakukan olehnya. Kadang-kadang dua perkara ini selisih dengan satu matlamat yang sama. Tetapi, ada kalanya banyak perkara yang tidak perlu kita lakukan, kita mahu lakukan. Begitulah sebaliknya. Sebagai contoh, kita perlu bangun solat subuh sebaiknya berjemaah, dalam masa yang sama kita mahu meneruskan tidur kita. Ha! Pada masa inilah ‘aqal akan berfikir bersandarkan jiwa yang berpengatahuan untuk mengeluarkan arahan. Jika kita bangun. Ini bermakna kita tahu tanggungjawab kita.

Sesungguhnya, sangat jelas peranan dan tujuan kita hidup di dunia ini. Perumpaan yang pernah diberikan oleh Tuan Guru saya “kalau kita tambat lembu di padang tujuan hendak suruh dia makan, masakan kalau kita Allah ciptakan tanpa ada tujuan yang jelas.”


Tulisan 10 Zul Hijjah

بسم الله والحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله ومن والاهأما بعد

Di pagi Hari An-Nahr

Kedengaran takbir raya dari corong pembesar suara Masjid Al-Muqarrabin, Kg. Bechah Kura. Sungguh sayup dan kesedihan jika dihayati alunan suara Imam Masjid. Langkah kaki bermula untuk ke Masjid berhampiran dengan rumah. Kira-kira 1 kilometer jaraknya. Jam randik aku  baru menunjukkan pukul 8 pagi. Awal juga aku sampai. Masjid pun masih kosong untuk dipenuhi, terutamanya shaf-shaf pertama dan kedua. 

Selalu sesetengah orang menyangka manusia yang berada di saf hadapan itu, orang yang baik dan ekslusif untuk para imam dan insan yang memakai nametag "pak cik" sahaja. Sesungguhnya kelebihan solat di shaf pertama sungguh menakjubkan. Bagi hamba yang memerlukan pahala yang lebih, mungkin shaf itu menjadi pilihan dan harapannya. Tapi, masih ramai yang malu untuk mendapatkan ganjaran yang dikhabarkan oleh Nabi.

Antaranya : 
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يستغفر للصف المقدم ثلاثا وللثاني مرة
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah SAW meminta pengampunan untuk shaf pertama sebanyak tiga kali dan hanya sekali untuk shaf kedua. HR Ibnu Majah (986); Shahih: Shahih Ibnu Majah (822)

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda : 
إن الله وملائكته يصلون على الصف الأول
Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat berselawat (mengampuni atau meminta pengampunan) ke atas shaf pertama. HR Ibnu Majah (987); Hasan Shahih: Shahih Ibnu Majah (825)

Nah, begitu luas rahmat Allah SWT. Dia tidak pernah dan tidak akan sama sekali menzhalimi hambaNya. Namun manusia itu sendiri yang berusaha untuk membinasakan kehidupan yang diberikan olehNya. 

Rebut Peluang Ini

Soal 'ibadah ini jangan sama sekali kita berasa sudah cukup dengan perkara wajib sahaja. Belum tentu yang wajib itu sempurna dan diterima. Sentiasalah merasakan diri ini memerlukan rahmat dan maghfirah Allah. Sebanyak mana pun dosa yang dilakukan. Bersihkan jiwa itu dengan melazimi istighfar. Nabi setiap hari beristighfar 100 kali atau dalam riwayat lain 70 kali. Masakan kita pembuat dosa boleh berdiam diri meminta ampun dari Maha Pengampun. Cubalah untuk beramal dengan petunjuk dari AlQuran dan AsSunnah yang Shahih. Rugilah kalau yang ajarkannya kita abaikan. Perkara baru yang direka manusia pula kita beramal. Semacam kita mengkhianati Sunnah itu sendiri.

Jangan pernah merasakan dosa kita sedikit, pahala kita banyak. Mungkin itu perangkap syaithan. Diubah ikhlas menjadi riya' yang mensia-siakan 'amalan. Ubah pemikiran untuk menjana perubahan yang berlaku dalam kehidupan ini. Kehidupan yang sementara ini perlu dirancang sebaik mungkin untuk menghadapi hari kemudian. Jangan dibazirkan dengan perkara yang tidak memberi faedah. 

Allah berfirman : 
"Dia (Allah) berfirman : berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab : kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari, maka bertanyalah kepada mereka yang menghitung. (Al-Mukmimun : 112-113)

Cukup singkat masa jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang dibebani. Namun, bukan alasan untuk kita meninggalakan kerja yang ditinggalkan oleh Nabi untuk kita warisi iaitu kerja Da'wah. Allah tidak pernah membebani seseorang itu melainkan dengan kemampuannya. Cubalah sedaya upaya berusaha untuk kita melaksanakannya. Bersabar menghadapi ujian yang melanda. Jangan cepat mengalah dan putus asa.

Justeru, gunakan dan manfaatkan ni'mat masa yang diberikan sebaik mungkin. Cubalah mengisinya dengan perkara yang dapat saham di akhirat kelak. 






Sekilas Terlintas untuk Nasihat Bersama...

Bismillahirrahmanirrahim...

alhamdulillahi Rabbil Alamin..wabihi nasta'in..wala 'udwana illa 'ala zdolimin..segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT..di atas segala nikmat tidak terhenti..nikmat Islam, Iman, Sunnah dll..tidak terhimpun semua nikmat yang telah diberikan sebermulanya kita di lahirkan ke dunia ini dengan tujuan yang sama..
Allah berfirman :
أعوذ با لله من الشيطان الرجيم
وما خاقت الجن والإنس إلا ليعبدون : سورة الذاريات :

Begitulah Allah yang Maha Pengasih  terhadap hambanya.tidak pernah menzalimi hambaNya.bahkan merekalah yang menzalimi diri sendiri yang hasil dari perbuatan mereka sendiri.walhal manusia sering berada dalam kelalain dengan maksiatnya, hiburan, jenayah dll.tetapi, tetap manusia diberi nikmat yang terselit ujian ataupun musibah.
Berkata ahli falsafah, masyarakat yang dijamu dengan maksiat dan jinayah, akan melahirkan masyarakat yang berfikiran kelas ketiga....
adakah tertegaknya Islam dengan  minda penganutnya yang malas untuk berfikiran, putus asa untuk bekerja, takut melaksanakan perubahan, sentiasa beralasan, malas berusaha dan berikhtiar, dihantui oleh bayangan kematian yang tidak boleh tangguh sesaat cepat atau lambat, merasa cukup dengan apa yang ada atau selesa dengan suasana yang sedang meruntuh, hancur dan jumud ini.


Kesannya

Subnallah..begitulah natijah jika kita umat Islam sendiri yang terpelawa dengan juadah yang di hidang oleh musuh kita..sudah nyata dan terang masyarkat kita sedang berada dalam kepenatan yang teramat sangat akibat menelan racun yang dianggap madu kerana dinilai di atas dasar kemahuan tuan yang jahat..

Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda : حفت الجنة بالمكاره , وحفت النار بالشهوات
"dikelilingi Syurga itu dengan perkara yang tidak disukai(bertentnagan dengan hawa nafsu), dan dikelilingi Neraka itu dengan perkara yang syahwat"

Manusia sentiasa berhadapan dengan perkara yang suka dan perlu untuk dilakukan.sering kali benda ini bertentangan..kadang-kadang benda yang tidak perlu kita lakukan..itulah yang suka kita lakukan dan benda yang suka kita lakukan tetapi langsung tidak perlu kita lakukan..satu contoh : untuk bangun solat Subuh..setiap muslim perlu(wajib) untuk bangun dan menunaikannya..dalam masa yang sama, kita lebih suka meneruskan tidur walhal perkara itu sudah tidak perlu pada masa itu..ia sudah bertukar menjadi suatu kelaziman sesetengah insan..terlalu berat untuk mengangkat selimut yang beratnya tidaklah sampai sekilo..





Kesilapan Umat Islam Pada Hari Jumaat


Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:
Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua. ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.



Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.
Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.
Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.
Allah S.W.T memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”
Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang. Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :
Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.
Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.
Ketiga: Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .

Sumber: http://www.masjidnegara.gov.my/

Back to Top