2015

Malang tidak berbau

04012015. Tercatat dalam sejarah

Terlibat dalam kemalangan
Menjadi satu kenangan
Dan sebuah peringatan
Yang tidak bisa dilupakan
Untuk sahabat dan teman,
Sama-samalah ambil pengajaran

Inilah teguran dari Tuhan
Kerana kelalaian
Hingga lupa jalan
Menuju kebenaran
Biar bangkit dari kealpaan

Aku pohon agar diampun
Dosa yang telah dilakukan
Biarpun disaman
Kerana kesalahan
Moga diringankan balasan
Dihari manusia berhimpun
Dan dihisab amalan

Doakan
Agar terus teguh dan istiqamah dalam perjalanan.

Kepada kenalan
Mohon maaf segala kesalahan dan kesilapan
Kalau ada hutang, khabarkan
Agar aku dapat lunaskan
Sebelum aku kembali berjumpa Tuhan.

إنا لله وإنا إليه راجعون. اللهم أجرني في مصيبتي، واخلف لي خيرا منها .

Benarkah Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awwal ?

Mengikut laporan terkenal yang disampaikan kepada kita selama ini, bahawa Nabi SAW dilahirkan pada tahun gajah, hari Isnin bersamaan 12 Rabi’ul Awwal dan meninggal juga pada hari Isnin bersamaan 12 Rabi’ul Awwal. Bagi peminat angka, mereka akan melihat juga pada hari Isnin bersamaan 12 memiliki suatu keistimewaan, sebagaimana juga 12 nuqabak pada zaman Nabi Musa ‘alaihissalam, 12 ahli Hawariyyun yang mendokong perjuangan Nabi Isa ‘alaihissalam, 12 nuqabak pada Bai’ah ‘Aqabah al-Ula, malah tarikh kiamat pun dikatakan pada tahun 2012. Dalam masa yang sama, Imam yang mewarisi pemerintahan Rasulullah SAW menurut ajaran Syi’ah Imamiyyah dan lain-lain juga, sebanyak 12 orang.

               Apa istimewa pada angka? Sehingga tersebar dengan begitu meluas bahawa ayat al-Quran juga ada 6666 – walhal tiada seorang pun ulama yang beranggapan demikian, seolah-olah sangat istimewa dan ada karamah tersendiri. Atau, adakah di sebalik angka ini ada maksud tersendiri yang menjadi agenda perjuangan golongan tertentu.

Perbahasan.

Sekiranya kita menyambut kelahiran atau keputeraan Rasulullah SAW dengan penuh kegembiraan pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal, bagaimana pula perasaan kita terhadap pemergian baginda kerana baginda juga dikatakan meninggal pada tarikh tersebut? Jadi, apakah kita harus menyambut tarikh 12 Rabi’ul Awwal dengan perasaan gembira atau berduka?

               Perbincangan pertama adalah berkaitan pembuktian sama ada Nabi SAW lahir pada tahun gajah atau tidak. Kedua, apakah benar Rasulullah lahir pada hari Isnin? Yang terakhir, apakah benar baginda SAW lahir pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal?

               Ada pandangan yang mengatakan, baginda SAW lahir sebulan selepas peristiwa serangan tentera bergajah Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah. Ada pula berpandangan, 40 hari atau 50 hari sesudahnya, malah ada yang mendakwa baginda lahir 10 tahun, atau 23 tahun, malah 30 tahun sesudahnya. Menurut as-Suhaili dalam al-Raudh al-Unuf dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah, “Pandangan inilah (yang mendakwa baginda SAW lahir 50 hari sesudah peristiwa tentera bergajah) lebih popular.”

               Az-Zahabi meriwayatkan daripada al-Hakim, bahawa Nabi SAW lahir 30 atau 40 hari sesudah peristiwa serangan tersebut. Selepas itu, beliau berkata, “Kemungkinan orang yang mengatakan 30 atau 40 tahun, sebenarnya ingin mengatakan hari tetapi tersilap menyebutnya.” Tidak syak lagi, berdasarkan beberapa pendangan ulama dan pengkaji yang lain bahawa pendangan tersebut adalah tersilap sama sekali.

               Az-Zahabi kemudiannya menyebut dalam Tarikh al-Islam, satu perkhabaran yang disampaikan oleh Mutallib bin ‘Abdullah bin Qis bin Makhramah, bahawa Qis bin Makhramah pernah berkata, “Aku dan Rasulullah SAW dilahirkan pada tahun gajah.” Riwayat ini disampaikan oleh Ibnu Ishaq dan menurut az-Zahabi, sanadnya adalah baik.

               Sa’id bin Jubair juga pernah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA yang berkata, “Rasulullah SAW lahir pada tahun gajah.” Az-Zahabi turut mengatakan bahawa sumber ini adalah sahih. Pandangan inilah yang turut disokong oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam karya beliau Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad.

               Bagi persoalan pertama sudah ada jawapannya, iaitu benar Rasulullah SAW lahir pada tahun gajah berdasarkan pembuktian yang telah dilakukan oleh para pengkaji sirah.

               Persoalan kedua, berkaitan dengan kelahiran baginda SAW pada hari Isnin. Tidak syak lagi, malah diperkatakan sendiri oleh baginda SAW bahawa baginda lahir pada hari Isnin. Ini dibuktikan dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, satu hadis yang bersumberkan daripada Abu Qatadah RA berkenaan jawapan Nabi SAW tentang puasa pada hari Isnin, “Ini adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diturunkan wahyu.”

روى مسلم (1162) عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الِاثْنَيْنِ فَقَالَ: ( فِيهِ 
 (وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيّ
              
 Manakala bagi persoalan terakhir, benarkah baginda SAW lahir pada 12 Rabi’ul Awwal. Majoriti ulama bersetuju bahawa baginda SAW lahir pada bulan Rabi’ul Awwal, Cuma mereka khilaf dari sudut tarikh sahaja. Namun, tidak dinafikan ada pandangan yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abdil Bar daripada Zubair bin Bakkar mengatakan baginda SAW lahir pada bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, menurut Ibnu Kathir, pandangan ini sangat ganjil.

               Sebelum melanjutkan perbicangan ini, harus juga diketahui bahawa tiada bukti yang sahih berkenaan tarikh kelahiran baginda, berbeza dengan bukti yang amat jelas dalam hadis berkenaan hari kelahirannya. Justeru, penilain terbaik dalam menentukan tarikh kelahiran sebenar baginda SAW adalah berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh ahli falak dengan menggunakan beberapa petanda yang telah dinyatakan dalam hadis Nabi SAW, di samping menggunakan teknologi terkini dalam membuat perkiraan yang lebih tepat.

               Ada enam pandangan berkenaan tarikh kelahiran Baginda SAW diringkaskan seperti berikut :

1) Malam ke-2 Rabi’ul Awwal : pandangan ini juga dibawa oleh Ibnu ‘Abdil Bar dalam al-Isti’ab, al-Waqidi daripada Abu Ma’syar Najih al-Madani.

2) 8 Rabi’ul Awwal : pendapat yang dikhabarkan oleh Humaidi daripada Ibnu Hazm dan diriwayatkan oleh Malik, ‘Uqaili dan Yunus bin Yazid dan selain itu, daripada al-Zuhri yang meriwayatkan daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im. Muhammad bin Musa al-Khawarizmi dengan pasti mengiyakan pandangan ini. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan fakta antara karya al-‘Usyan dengan sumber daripada Maulana ‘Asri. Al-‘Usyan mengatakan kumpulan ini bersetuju tarikh kelahiran Nabi SAW adalah 8 Rabi’ul Awwal, namun Maulana ‘Asri mengatakan kumpulan ini bersetuju dengan tarikh 9 Rabi’ul Awwal bukannya 8.

3) 10 Rabi’ul Awwal : Ibnu ‘Asakir daripada Abu Ja’far al-Baqir dan Mujalid daripada Sya’bi mendokong pendangan ini.

4) 12 Rabi’ul Awwal : pandangan yang ditekankan oleh Ibnu Ishaq yang meriwayatkan daripada Abu Syaibah dalam Musnafnya. Beliau meriwayatkan pula daripada ‘Affan, daripada Sa’id bin Mina, daripada Jabir dan daripada Ibnu ‘Abbas RA. Pandangan ini telah disokong oleh Dr Akram Dhiyak al-‘Umari. Beliau juga dalam karyanya langsung tidak menyentuh tairkh 9 Rabi’ul Awwal malah beliau tidak juga membawa pandangan pengkaji masa kini.

5) 17 Rabi’ul Awwal : Ibnu Dihyah dan sebahagian Syi’ah.

6) 22 Rabi’ul Awwal : pandangan ini dipetik oleh Ibnu Dihyah, juga daripada manuskrip wazir Abu Rafi’ bin al-Hafiz Abu Muhammad bin Hazm daripada ayahnya.

Namun, apa yang pasti, kesemua ini tidak disokong oleh sebarang pernyataan yang tepat, konkrit atau tidak juga disokong oleh mana-mana pernyataan Nabi SAW. Justeru, ia masih boleh lagi diperbincangkan, khususnya daripada aspek kajian astronomi atau falak.

Prof Mahmud Basya dalam karyanya Fi Tahqiqi Maulidin Nabi wa ‘Umrihi SAW, bersetuju berdasarkan kajian yang dibuat bahawa Nabi SAW lahir pada 9 Rabi’ul Awwal. Seorang ahli falak, ‘Abdullah bin Ibrahim bin Muhammad Sulaim dalam bukunya Taqwim al-Azman fi Tahqiqi Maulidin Nabi SAW mengupas dan menghujahkan perkara ini secara lebih mendalam dan ilmiah, akhirnya bersetuju dengan pendangan Prof Mahmud Basya.

               Hal ini juga mendapat sokongan daripada Sheikh ‘Uthaimin dan al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum. 

‘Abdullah bin Ibrahim juga menegaskan bahawa baginda SAW meninggal dunia pada 13 Rabi’ul Awwal, bukan 12 Rabi’ul Awwal sebagaimana yang didakwa. Ada juga ulama mendakwa kewafatan baginda SAW ialah pada 1 Rabi’ul Awwal. Pandangan ini disokong oleh Musa bin ‘Uqbah, Imam Laith bin Sa’ad, Abu Nu’aim Fadhal bin Dukain, al-Suhaili dan al-Khawarimzi.

Kesimpulan.

1. Tarikh 12 Rabi’ul Awwal yang selama ini dikaitkan dengan tarikh kelahiran dan kewafatan baginda SAW adalah berdasarkan pandangan dan hujah yang tidak kuat.

2. Berdasarkan kajian ahli falak dengan menggunakan data-data dan kiraan yang jelas, tarikh kelahiran Nabi SAW jatuh pada 9 Rabi’ul Awwal, manakala tarikh kewafatan baginda pula – berlaku khilaf – sama ada 1 atau 13 Rabi’ul Awwal. Padangan ahli falak dalam bab ini lebih diiktiraf berbanding pandangan ulama lain kerana ini merupakan bidang dan kepakaran mereka, apa lagi setelah al-Quran dan Hadis serta para sahabat tidak pula menyatakannya.

3. Tidak wajar lagi untuk kita mengadakan sambutan Maulid Nabi pada tanggal 12 Rabi’ul Awwal atau pada mana-mana tarikh sekalipun, sebagaimana yang dilakukan pada masa sekarang, selain kita tidak menjadikan sambutan tersebut sebagai satu kewajipan. Yang terpenting ialah tarikh kelahiran Nabi SAW dijadikan azimat untuk menguatkan semangat bagi menerapkan sunnah baginda dalam semua aspek kehidupan, termasuklah pemerintahan dan ekonomi.

Sumber

-Al-Mubarakfuri, al-Rafiq al-Makhtum, h.66
-Dr. Akram Dhiyak, al-Sirah al-Nabawiyyah as-Sahihah, h. 98
-Muhammad bin ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa Lam Yathbut fi al-Sirah an-Nabawiyyah, h. 5-9.

diambil dari buku 'Khadijah Bukan 40 Tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan Penilaian Kritikal terhadap 56 Kisah Popular' oleh Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor

Back to Top